Faisal Halim boleh dihukum — Bekas pengadil FIFA


  • Podium
  • Isnin, 04 Jul 2022

Samassa (kiri) dilihat berang dengan tindakan Faisal dalam aksi Liga Super antara Sri Pahang FC dan Terengganu FC pada Ahad. — Facebook

PEMAIN sayap lincah Terengganu FC, Muhammad Faisal Halim boleh dikenakan tindakan kerana insiden 'menganjing' penjaga gol Sri Pahang, Mamadou Samassa dalam aksi Liga Super membabitkan kedua-dua gergasi Pantai Timur itu pada Ahad.

Bekas pengadil kebangsaan, Subkhiddin Mohd Salleh berkata, perbuatan tersebut boleh dianggap sebagai 'unsporting behavior' yang boleh mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain dan penonton kedua-dua pasukan.

"Berdasarkan apa yang dilakukan oleh Faisal, dia boleh dikenakan tindakan. Dalam hal ini, pengadil boleh melayangkan kad kuning kepada Faisal.

"Insiden mengejek pemain lain selepas meraikan gol kemenangan seperti yang dilakukan Faisal itu dikira sebagai satu kesalahan," katanya kepada Majoriti.

Beliau yang juga tenaga pengajar bahagian teknikal pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berasakan, perbuatan sedemikian tidak sepatutnya dilakukan Faisal yang berstatus pemain skuad kebangsaan.

Menurutnya, walaupun mungkin tidak disengajakan, perbuatan itu boleh mencalarkan imej pemain berusia 24 tahun itu yang dilihat semakin menyinar bersama skuad Harimau Malaya berikutan prestasi cemerlangnya.

Tindakan Mickey dianggap keterlaluan dan boleh dikenakan tindakan.

"Dia sedang meraih populariti kerana permainan yang bagus tetapi insiden ini boleh menambah mesej yang tidak betul kepada orang ramai. Anak-anak muda pun boleh terikut untuk meraikan sesuatu dengan cara mengejek seperti yang ditunjukkan Faisal, jadi memang ia tidak patut dan perlu dielakkan," jelas Subkhiddin lagi.

Majoriti sebelum ini melaporkan insiden penalti antara Faisal dan Samassa mencuri tumpuan penyokong selepas Faisal yang mesra dengan panggilan Mickey mengajuk kembali tindakan penjaga gol import itu yang gagal menyelamatkan sepakan penalti berkenaan lalu dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan.

Situasi itu membangkitkan kemarahan Samassa yang bertindak mengejar pemain skuad kebangsaan itu, namun sempat ditahan oleh beberapa pemain TFC dan pengadil perlawanan.

Sebelum itu, Samassa berjaya menyelamatkan sepakan penalti Faisal tetapi pengadil garisan mendapati penjaga gol kebangsaan Mali itu keluar dari posisinya lebih awal sehingga memaksa sepakan penalti diambil semula. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram