Faisal Halim 'menganjing' Samassa, siapa yang mula dulu?


  • Podium
  • Isnin, 04 Jul 2022

Faisal menjaringkan gol kemenangan TFC selepas berjaya menyempurnakan sepakan penalti. — Facebook/TFC

AKSI Liga Super pada Ahad membabitkan pertembungan antara dua pasukan gergasi Pantai Timur iaitu Terengganu FC (TFC) dan Sri Pahang.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu itu menyaksikan pasukan tuan rumah mengutip tiga mata berharga apabila menang 2-1.

Pasukan TFC berjaya membuka tirai jaringan mereka seawal minit pertama permainan menerusi ketua pasukan, Kpah Sharman hasil umpanan cantik dari Petrus Shitembi sebelum nasib malang terus menimpa pasukan pelawat hasil jaringan penalti Muhammad Faisal Halim pada minit ke-80 sekali gus menewaskan penjaga gol Sri Pahang, Mamadou Samassa.

Gol saguhati pelawat pula dijaringkan oleh Abdul Malik Mat Ariff kira-kira empat minit sebelum aksi sebenar tamat.

Bagaimanapun, insiden penalti itu lebih mencuri perhatian penyokong bola sepak tempatan apabila Faisal dilihat sempat membuat provokasi ‘menganjing’ Mamadou Samassa dengan mengajuk kembali tindakan penjaga gol import itu yang gagal menyelamatkan sepakan penalti berkenaan.

Penyokong pelawat tidak berpuas hati dengan perbuatan Faisal Halim yang dianggap tidak menghormati bekas pasukan. Facebook

Situasi itu membangkitkan kemarahan Samassa yang bertindak mengejar pemain skuad kebangsaan itu namun sempat ditahan oleh beberapa pemain TFC dan pengadil perlawanan.

Sebelum itu, Samassa berjaya menyelamatkan sepakan penalti Faisal Halim tetapi pengadil garisan mendapati penjaga gol kebangsaan Mali itu keluar dari posisinya lebih awal sehingga memaksa sepakan penalti diambil semula.

Di dalam Facebook pula rata-rata penyokong pelawat tidak berpuas hati dengan perbuatan Faisal Halim yang dianggap tidak menghormati bekas pasukan yang pernah diwakilinya sebelum berhijrah ke pasukan Terengganu.

"Faisal Halim tolong jaga tingkah laku jangan kuat sangat 'menganjing' pasukan lawan," ujar Sa'ari Zulkifli.

"Tak salah kalau nak meraikan gol yang dia jaringkan, tapi cara Faisal itu tak kena, sedangkan Baddrol Bakhtiar bekas pemain Kedah main dengan Sabah pun tak celebrate yang macam Mickey ini buat," jelas Sham Adam.

"Awak nak celebrate macam mana itu ikut suka, tapi jangan perli-perli pihak lawan, sebab nampak sangat tak respect dengan pihak lawan, tolong selepas ini jaga sensitiviti pemain lawan," tulis Zabidi Ar.

Namun pada masa sama, ada juga yang mempertahankan tindakan Mickey sambil mendakwa bahawa Samassa sebenarnya yang terlebih dulu memulakan provokasi sejurus sebelum sepakan penalti itu diambil.

"Keeper Pahang yang mula saiko Mickey, sebab tu (Mickey) saiko balik... Perhati molek (Samassa) yang pergi serah bola ke Mickey seolah-olah perlekehkan kebolehan Mickey," dakwa Mohd Azmi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram