Gamel kecewa mutu pengadil, Nafuzi lega kembali menang


  • Podium
  • Isnin, 04 Jul 2022

Faisal Halim (kanan) meraikan gol kemenangan TFC ketika menewaskan Sri Pahang 2-1 dalam aksi Liga Super malam tadi. — Facebook/Terengganu FC

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menarik nafas lega apabila berjaya meraih kemenangan ke atas Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Kuala Nerus, Terengganu, pada Ahad.

Menurut Nafuzi, selepas melalui dua perlawanan tanpa kemenangan, keputusan positif yang diperoleh pada Ahad memberi suntikan semangat kepada anak buahnya untuk mengharungi perlawanan seterusnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui sedikit gusar dengan prestasi anak buahnya yang sedikit merosot disebabkan faktor kepenatan oleh jadual perlawanan yang sangat padat.

"Alhamdulillah selepas dua perlawanan yang suram, kita berjaya kembali ke landasan kemenangan. Harapan saya supaya momentum positif ini berterusan pada perlawanan akan datang," katanya selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-1.

Gol pertama TFC seawal minit pertama disumbangkan oleh penyerang import kelahiran Liberia, Kpah Sherman, manakala gol kedua dihasilkan melalui sepakan penalti yang diambil oleh pemain kebangsaan, Faisal Abdul Halim pada minit ke-79.

Gol tunggal Sri Pahang FC pula diperoleh pada minit ke-86 menerusi Malik Mat Ariff, yang pernah menyarung jersi Terengganu selama dua musim bermula 2018.

Dengan kemenangan tersebut, skuad Penyu berjaya naik dua anak tangga iaitu dari tempat ketujuh ke tempat kelima liga dengan 13 mata, manakala Sri Pahang FC kekal di tangga kedua tercorot dengan lapan mata.

Sementara itu, nasib berbeza yang dihadapi Sri Pahang FC selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut meletakkan pengendalinya, Christophe Gamel dalam kedudukan yang bahaya.

Ketika ditemui, jurulatih kelahiran Perancis itu berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan untuk menentukan nasib serta kedudukannya dalam skuad Tok Gajah.

"Saya serahkan kepada pihak pengurusan untuk membuat keputusan. Saya sayangkan Pahang dan sebarang keputusan...jika baik untuk Pahang, saya setuju demi menghormati institusi ini," katanya yang kecewa dengan mutu pengadilan perlawanan pada Ahad. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram