MENDUDUKI tempat kedua dan ketiga dalam Liga Super setakat ini, perlawanan antara pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) menentang Sabah FC dijangka menjadi perlawanan yang sengit bagi kedua kumpulan.
Beraksi di laman sendiri, Ketua Jurulatih skuad Jang Hobin, K. Devan berharap anak buahnya tidak akan melepaskan peluang untuk mengutip tiga mata penuh pada perlawanan Ahad nanti.
Menurut Devan, meskipun Sabah FC dibarisi dengan pemain berprofil tinggi seperi Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Khairul Fahmi tapi ia bukan halangan buat pemainnya beraksi dengan cemerlang.
"Kami menghormati Sabah dan semua maklum Sabah adalah 'rival'. Mana tidaknya kebanyakannya pemain kebangsaan seperti Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Khairul Fahmi berada dalam Sabah.
"Namun NSFC juga ada senjata rahsia iaitu kami akan bekerja keras sebagai satu pasukan. Kita tidak mempunyai bintang individu macam mereka tapi NSFC mempunyai kekuatan berkumpulan yang baik," katanya kepada Majoriti.
Bagi Devan, jika pemainnya ingin memenangi perlawanan Ahad nanti, mereka perlu bekerjasama untuk mengawal beberapa pemain yang disifatkan boleh merosakkan jentera pertahanan mereka.
Untuk setakat ini, Devan berjaya membawa NSFC menduduki tangga kedua Liga Super 2022.
Bintang muda Indonesia, Saddil Ramdani dan penyerang baharu, Jose Embalo antara pemain bahaya yang disebut oleh Devan dan skuad Jang Hobin perlu memberi sepenuh perhatian kepadanya.
"Saddil perlu diawasi kerana kelajuannya sangat bahaya untuk NSFC dan secara tiba-tiba menjaringkan gol. Baddrol kita tahu dia ada kualiti sebagai kapten yang boleh naikkan semangat pasukan. Taiki Kagayama juga tidak boleh diberi ruang.
"Import baharu mereka juga bahaya. Walaupun semasa menentang Selangor dia (Embalo) masuk separuh masa kedua tapi boleh dilihat dia mengancam pertahanan Selangor. Kesimpulannya NSFC memang perlu awasi pemain itu," jelasnya.
Namun, sedikit membimbangkan buat Devan apabila dua tonggak pertahanan skuad Jang Hobin tidak dapat diturunkan kerana masalah kecederaan dan kesihatan.
"Terdapat dua pemain tidak akan diturunkan iaitu Khair Jones masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan dan esok sebelum perlawanan akan dilihat kembali jika boleh disenaraikan.
"A Namathevan pula mengalami masalah kesihatan," jelasnya.
Devan tidak ingin berasa selasa pada perlawanan Ahad nanti meskipun sebelum ini skuad Jang Hobin berjaya mencatat 1-0 ke atas pasukan The Rhinos.
Tegasnya, Sabah FC pasti akan cuba menebus kekalahan aksi lalu dengan memberikan prestasi terbaik mereka pada perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, Negeri Sembilan Ahad ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram