Ibarat 'dirasuk' Mat Kilau, semangat melawan Kedah dipuji legenda, bekas jurulatih


  • Podium
  • Jumaat, 01 Jul 2022

Pemain Kedah meraikan kejayaan melayakkan diri ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala AFC 2022. — Facebook KDA FC

KEJAYAAN Kedah Darul Aman (KDA) FC menundukkan juara Kemboja, Visakha FC bukan satu kemenangan biasa, sebaliknya dilihat sebagai kebangkitan yang luar biasa.

Dengan kedudukan goyah dalam Kumpulan G Piala AFC Zon Asia Tenggara selepas tewas 0-2 kepada jaguh Indonesia, Bali United pada perlawanan pembukaan, harapan Kedah untuk mara ke pusingan seterusnya dilihat samar.

Apatah lagi apabila Visakha FC pula menundukkan Bali United dengan jaringan besar 5-2 memberi bayangan Kedah akan tersingkir awal walaupun cuba bangkit dengan kemenangan ke atas Kaya FC pada perlawanan kedua.

Dengan misi mencari tiga gol ke atas Visakha FC dilihat seakan-akan mustahil, ditambah dengan prestasi turun naik anak buah Aidil Sharin Sahak dalam saingan Liga Super dan Piala AFC.

Corak permainan dan taktikal antara yang membelenggu skuad Sang Kenari seperti yang diluahkan peminat setia Hijau Kuning selepas melihat aksi longlai pasukan kesayangan mereka dalam setiap kejohanan musim ini.

Namun Aidil telah membuktikan sebaliknya. Kemasukan dua pemain import berpengalaman dalam AFC ternyata membuahkan hasil.

Al Mardi

Al-Mardi merupakan tonggak penting Kedah dalam kempen Piala AFC musim ini. — Facebook KDA FC

Sumbangan Mahmoud Al-Mardi dan Sanrawat Dechmitr dalam kempen Piala AFC tidak boleh lagi dinafikan bahawa duo pemain ini bakal menjadi senjata berbisa buat Kedah menempuh saki baki saingan musim ini.

Kemaraan Kedah ke pusingan separuh akhir Zon Asia Tenggara Piala AFC untuk sekali lagi bertemu wakil Indonesia, PSM Makassar pada 9 Ogos, dipuji ramai pihak.

Antaranya, bekas legenda kelab itu, Radhi Mat Din yang memberi ucapan ringkas yang pastinya membakar lagi semangat pemain Kedah meneruskan perjuangan.

"Alhamdulillah, kebangkitan Sang Kenari 5-1 di Bali," tulisnya menerusi satu hantaran di Facebook.

Seorang lagi yang tidak pernah putus memberi semangat adalah legenda bekas jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor.

"Rezeki kita. Tiada yang mustahil dalam bola sepak," tulisnya.

Sementara itu, seorang lagi bekas jurulatih, Ramon Marcote memuji semangat luar biasa pasukan Kedah.

Malah dia juga bersetuju bahawa perlawanan ke atas Visakha sebagai aksi terbaik pasukan itu sepanjang musim ini.

"Memang benar pasukan Kemboja (Visakha FC) dan Filipina (Kaya FC) tidak begitu kuat. Tetapi semangat melawan Kedah memang sangat luar biasa! Tahniah Kedah. Puluh Kedah Pulun!," katanya kepada Majoriti. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram