KEDAH Darul Aman (KDA) FC menunjukkan semangat melawan untuk melayakkan diri sebagai pasukan terbaik zon Asia Tenggara ke pusingan separuh akhir Piala AFC 2022.
Kemenangan 5-1 ke atas jaguh Kemboja, Visakha FC menepati sasaran skuad Aidil Sharin Sahak untuk mengungguli Kumpulan G, sekali gus mara ke pusingan seterusnya.
Dalam perlawanan getir itu, Kedah memikul beban besar kerana memerlukan kemenangan dengan kelebihan tiga gol bagi meletakkan mereka sebagai juara kumpulan.
Tetapi hatrik bintang import Kedah, Mahmoud Al-Mardi sudah cukup membantu Sang Kenari untuk terbang tinggi ke peringkat lebih tinggi di Asia Tenggara, sesuai dengan status dirinya yang dibawa masuk ke Darul Aman sebagai seorang pemain yang berpengalaman dalam kancah AFC.
Beraksi di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Indonesia, Kedah terlebih dahulu mempunyai peluang untuk menjaringkan gol pembukaan menerusi Ronald Ngah Wanja apabila dia dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-12.
Namun Ronald gagal memanfaatkan peluang tersebut apabila sepakannya melambung tinggi dan seakan-akan menjadi malam buruk buat Kedah.
Keadaan itu semakin menjadi realiti apabila Kedah tersentak dengan gol awal Visakha FC pada minit ke-20 hasil tandukan Mohammed Faeez Khan daripada hantaran sepakan percuma.
Tidak mudah mengalah dengan jaringan itu, Kedah kembali mengatur serangan dengan corak permainan kemas dab teratur sebelum akhirnya Al-Mardi menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-28.
Boleh dikatakan, perlawanan pada Khamis merupakan aksi terbaik skuad Aidil sepanjang musim ini dengan corak hantaran pendek yang kemas selain penguasaan bola yang tinggi berbanding Visakha.
Kedudukan akhir Kumpulan G Piala AFC Zon Asia Tenggara.
Ronald hampir meletakkan Kedah di depan pada minit ke-32 namun sepakannya sedikit tersasar selepas menyambut hantaran lintang Al-Mardi.
Ketika perlawanan separuh masa pertama hampir tamat dengan kedudukan 1-1, Al-Mardi sekali lagi mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol pada minit ke-46 menerusi sepakan percuma yang gagal ditangkap kemas penjaga gol lawan, Keo Soksela.
Bersambung babak kedua, Aidil membawa masuk Fayyadh Zulkifli untuk menambah sengat di jentera serangan dan hasilnya gol ketiga tercipta, sekali lagi menerusi Al-Mardi.
Pemain kelahiran Jordan itu melengkapkan hatrik tersebut selepas menerima hantaran lintang daripada Fayyadh yang bijak membuat larian di sebelah kanan kotak penalti Visakha.
Ronald akhirnya menebus kesilapan pada separuh masa pertama apabila mencipta peluang kepada Fayyad menjaringkan gol keempat buat Kedah selepas dia membuat larian solo menewaskan tiga pemain pertahanan lawan.
Dia juga mencetak nama sebagai penjaring apabila menyumbat gol kelima pada minit ke-76, juga menerusi hasil gerakan solo.
Dengan kemenangan penting itu, Kedah menjadi juara Kumpulan G hanya dipisahkan beza jaringan selepas terikat enam mata bersama Bali United dan Visakha FC.
Skuad Aidil bermula hambar apabila tewas 0-2 kepada Bali United sebelum menghidupkan peluang apabila menundukkan Kaya FC 4-1.
Pusingan separuh akhir zon dijangka berlangsung pada Ogos. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram