Ujian ‘ikan merah’ menanti Sang Kenari


  • Podium
  • Jumaat, 01 Jul 2022

PSM Makassar sewaktu menentang KL City FC pada perlawanan pertama Kumpulan H. — Agensi

KEDAH Darul Aman (KDA) FC berjaya mara ke separuh akhir Zon Asean Piala AFC selepas menumpaskan Visakha FC 5-1 di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali, Indonesia.

Hatrik daripada Mahmoud Al-Mardi dan satu gol daripada Mohammad Fayadh Mohd. Zulkifli Amin serta sumbangan jaringan Ronald Ngah Wanja bukan sahaja menceriakan penyokong Kedah, malah seluruh peminat bola sepak tanah air.

Kemenangan besar itu membolehkan skuad dibawah kendalian Aidil Sharin Sahak mengungguli Kumpulan G dengan kelebihan perbezaan jaringan dan menyingkirkan tuan rumah, Bali United.

Selaku pendahulu Kumpulan G, Kedah akan menentang juara Kumpulan H, pasukan Indonesia, PSM Makassar pada separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada 9 Ogos.

kda

Al-Mardi menjadi watak penting kebangkitan Kedah.

Mengelak daripada dibaham oleh PSM Makassar ataupun lebih mesra dengan panggilan skuad Ikan Merah (Juku Eja), Sang Kenari perlu menumpukan perhatian kepada bintang utama pasukan itu.

Adik-beradik Sayuri, Yakob dan Yance antara yang digeruni oleh pasukan lawan apabila menentang skuad PSM Makassar.

Kuala Lumpur City FC yang menentang mereka sebelum ini juga mengakui kedua-dua pemain sayap dari pasukan itu boleh mencipta malapetaka untuk skuad lawan.

Selain adik beradik Sayuri, skuad Hijau kuning juga perlu mengawasi tonggak pertahanan, Muhammad Arfan yang pernah membawa PSM menjadi juara Piala Indonesia 2019.

Pemain import dari Brazil, Everton Nascimento yang berperanan sebagai mesin pencetak gol pasukan Ikan Merah turut menjadi mimpi ngeri lawan kerana pemain import itu juga berjaya menjaringkan gol buat skuad itu pada saingan Piala AFC 2022 sewaktu menentang Tampines Rovers.

Jika KDA FC ingin menjinakkan PSM Makassar, analisis lebih lanjut mengenai pemain hebat mereka perlu dititik beratkan selain mengetengahkan bintang cemerlang seperti Mahmoud Al-Mardi, Fayadh Mohd. Zulkifli Ronald Ngah Wanja pada perlawanan nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram