Tiada sebab Kedah boleh ditewaskan Visakha FC, Aidil Sharin hanya mahu menang


  • Podium
  • Khamis, 30 Jun 2022

Kedah mengharapkan mereka mampu memperoleh kemenangan menentang VIsakha dalam aksi terakhir Kumpulan G, Piala AFC 2022 malam ini. — KDA FC

KETUA jurulatih Visakha FC, Meas Channa yakin kemenangan berpihak kepada mereka dalam perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC menjelang aksi penutup Kumpulan G di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Indonesia pada Khamis malam.

Berada di puncak kedudukan, Visakha akan menjadi kelab pertama dari Kemboja yang mara ke peringkat kalah mati Piala AFC sekiranya mampu memperoleh sekurang-kurangnya satu mata dengan Kedah.

Dalam edisi terdahulu, beberapa kelab Kemboja seperti Boeung Ket Angkor, Preah Khan Reach Svay Rieng FC dan bekas pasukan Meas Channa, Nagaworld FC adalah antara rakan senegara mereka yang telah mengambil bahagian dalam pertandingan benua itu, tetapi rata-rata menemui kegagalan selepas tersingkir daripada peringkat kumpulan Piala AFC.

Kata Meas Channa, beliau berusaha untuk menaikkan semangat barisan pemain dan yakin potensi anak buahnya itu.

"Saya akan bantu pemain untuk kekal fokus dan bermotivasi. Daripada pemerhatian, mereka masih belum berpuas hati dengan kejayaan pada Piala AFC dan dahagakan lebih lagi.

"Mereka ini sudah semakin hampir untuk mencipta sejarah, tentu sahaja kami berasa gembira dengan peluang yang diberikan. Kami mahu mara ke pusingan seterusnya sebagai wakil Kemboja," ujar beliau optimis.

Visakha FC mencatat dua kemenangan berturut-turut dan bangkit dari ketinggalan saat menentang Kaya FC-Iloilo dari Filipina dan Bali United apabila perlawanan terakhir mencatat kemenangan 5-2.

"Persediaan sangat baik sepanjang kejohanan kali ini dan kami ingin mengekalkan ia di tahap tinggi.

"Pemain sedang bersemangat tinggi sekarang, kami bersedia dari segi mental dan fizikal. Kami sudah bersedia untuk perlawanan pada Khamis untuk mendapatkan tiga mata lagi," katanya.

Sementara itu, KDA FC pula bangkit daripada kekalahan 0-2 pada hari pembukaan menentang Bali United apabila menewaskan Kaya FC-Iloilo 4-1 dalam aksi kedua.

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin berpegang teguh pada misinya untuk menjamin tempat pertama dalam kumpulan dan tiket ke peringkat kalah mati AFC atas Visakha berdasarkan rekod pertemuan (head to head) yang baik.

"Kami tahu Visakha adalah pasukan yang bagus dan menghormati mereka, tetapi kami menyasarkan tiga mata.

“Kami tidak mengalami kecederaan dan pulih dengan baik daripada perlawanan terakhir. Tahap motivasi serta keyakinan kami juga bertambah baik selepas kemenangan kami ke atas Kaya FC.

"Kemenangan akan membawa kami ke pusingan seterusnya dan kami akan berusaha sedaya upaya untuk mencapainya,” jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram