Penyokong Kedah sudah boleh lupakan Rizal Ghazali


  • Podium
  • Rabu, 29 Jun 2022

Kamil cemerlang membantu skuad Hijau Kuning mengutip 3 mata pertama dalam saingan Piala AFC. — Facebook

PEMAIN muda pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA), Kamil Akmal yang beraksi di posisi bek kanan kini berada di dalam prestasi terbaik apabila mampu menggalas tugas yang ditinggalkan oleh bekas pemain Kedah, Rizal Ghazali.

KDA FC pada musim ini mendaftarkan lima pemain muda untuk bersama skuad utama bagi mengukuhkan setiap posisi selain memberi peluang buat mereka membuktikan kemampuan dalam Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC 2022.

Lima pemain tersebut ialah Afeeq Ikmal di bahagian serangan, Fikhri Zulkiflee selaku pemain tengah serta tiga pertahanan muda iaitu Kamil Akmal, Heshamuddin Ahmad, dan Fareez Amirul Fadzil.

Kamil pernah bersama skuad Kedah bawah 19 tahun (B-19) menjuarai Piala Belia 2017, dan beraksi dalam skuad Piala Presiden KDA FC musim lepas, kini dalam skuad utama KDA FC bagi musim 2022

Kemasukan beliau nyata berjaya memberi impak terbaik buat KDA apabila Kamil berjaya mematikan ancaman lawan di sebelah kanan dengan baik selain memberi nilai tambah di bahagian serangan dengan tampil yakin membawa bola ke bahagian atas.

Kamil juga turut cemerlang membantu skuad Hijau Kuning mengutip 3 mata pertama dalam saingan Piala AFC dengan berjaya menewaskan pasukan Kaya F.C.–Iloilo 4-1 di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Indonesia pada Isnin.

Kamil Main

Kamil pernah bersama skuad Kedah B-19 menjuarai Piala Belia 2017, dan beraksi dalam skuad Piala Presiden KDA FC musim lepas. Facebook

Di media sosial pula, rata-rata penyokong skuad Hijau Kuning seperti sudah boleh melupakan Rizal Ghazali dek kerana kematangan Kamil beraksi di posisi bek kanan semasa diberi kepercayaan untuk membarisi skuad utama.

"Nampak ada potensi yang besar pemain ini dalam liga pun baru main berapa game sahaja terus dapat peluang main di Piala AFC, sebab posisi bek kanan tengah kritikal sekarang ini," kata Anwar Wahidi.

"Pemain ini bagus mungkin sebab itu Kedah tak ambil pertahanan import baharu ganti Jang Suk-won, sebab nak bagi peluang dekat pemain-pemain muda tempatan main Piala AFC," ujar Mohd Nasir Asmuni.

"Ubi muda baharu, tahniah kelab KDA FC sebab lahirkan ubi-ubi muda yang segar," jelas Stardelta Jauhari.

Kamil pernah beraksi sebagai rakan sepasukan bersama Akhyar Rashid ketika mewakili skuad Belia Kedah selain dipilih Bojan Hodak pada tahun 2018 selaku salah seorang daripada tiga pemain muda negeri tersebut dalam senarai pemilihan skuad negara B-19 di kejohanan AFF serta Piala AFC B-19.

Pengalaman luas yang beliau raih sejak usia muda ini pastinya akan digunakan sebaik mungkin oleh Kamil untuk mencabar posisi pertahanan musim ini bersama KDA FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram