BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilapor bersedia mempertimbangkan cadangan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bagi mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi.
Beliau berkata, ketika ini Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sudah mempunyai beberapa nama calon untuk dipertaruhkan di kawasan itu, namun ia terlalu awal untuk didedahkan kepada umum.
Namun, sekiranya calon berkenaan masih didapati tidak sesuai dan tidak mahu bertanding di Parlimen itu, beliau sedia menawarkan diri.
"Kita ada calon tetapi waktu ini kita tidak (boleh) beritahu lagi, kalau tak ada apa pun (perkembangan berkenaan calon sesuai hingga ke saat akhir), (dan jika) ada orang cadang saya (untuk bertanding di Langkawi), saya akan pertimbangkan.
"Kalau sudah tak ada orang (yang sesuai), (saya mungkin bertanding mempertahankan kerusi ini)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas pertemuan bersama pengusaha-pengusaha feri Langkawi di sebuah hotel di Kuah, Langkawi, Kedah pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir juga berkata, kempen untuk memperkenalkan Pejuang kepada orang ramai berada pada tahap yang baik, termasuk telah melakukan jelajah ke seluruh negara.
Namun, beliau mendakwa banyak pihak masih belum mengenali secara terperinci mengenai parti itu kerana tidak mendapat liputan meluas daripada kalangan media, disebabkan Pejuang merupakan parti pembangkang.
"Kita sudah lawat semua negeri, sampai ke Sabah kita pergi, tetapi tidak ada laporan. Kita (sebenarnya) ada orang (ahli parti), (lebih) banyak daripada orang Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dahulu.
"Mereka sekarang ini sudah tidak sokong Bersatu, mereka sokong Pejuang," katanya.
Awal Mac lalu, Dr Mahathir mengesahkan tidak akan bertanding di mana-mana kerusi Parlimen termasuk Langkawi dalam PRU15.
Ia bagi memberi peluang kepada calon yang sesuai dan lebih muda untuk terlibat di arena politik serta pilihan raya, selain faktor kesihatannya yang belum pulih sepenuhnya. — Astro Awani
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram