Ronald Ngah sudah buat 'kerja rumah' menjelang Piala AFC 2022


  • Podium
  • Isnin, 20 Jun 2022

Ronald Ngah berazam untuk terus mencetak namanya selaku penjaring di pentas Asia. — KDA FC

PENYERANG Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ronald Ngah Wanja percaya pasukan tersebut mampu memberikan cabaran sengit pada saingan Kumpulan G Piala AFC 2022 di Bali, Indonesia bermula Jumaat ini.

Menurutnya, latihan rapi selama empat minggu sepanjang tempoh Liga Malaysia 2022 berehat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak untuk meningkatkan keupayaan pasukan tersebut.

"Kami telah membina banyak perkara positif sepanjang tempoh empat minggu ini (bagi persiapan Piala AFC) walaupun mencatatkan keputusan kurang memberangsangkan dalam Liga Malaysia.

"Objektif ke Bali adalah untuk berada di kedudukan teratas. Untuk menjadi pemenang, kami harus memenangi setiap perlawanan di sana," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, di Kepala Batas, Kedah pada petang Ahad.

Sang Kenari dijadualkan bertemu kelab dari Indonesia, Bali United FC pada aksi pertama pada Jumaat ini diikuti kelab Filipina, Kaya FC (27 Jun) dan kelab Kemboja,Visakha (30 Jun).

Mengulas lanjut, Ronald Ngah yang mempunyai pengalaman luas di pentas Piala AFC juga berazam untuk terus mencetak namanya selaku penjaring di pentas Asia.

"Saya mahu menjaringkan gol. Yang penting adalah menang dan kami mengimpikan untuk meletakkan Kedah di ranking lebih tinggi dalam AFC.

"Kami sudah melihat dan menganalisi beberapa video permainan pasukan lawan.

"Penting sekarang adalah untuk memberikan yang terbaik sebagai satu pasukan pada setiap perlawanan," ujarnya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram