MANA-MANA pihak berkenaan disaran untuk meneliti kriteria pemain naturalisasi dan warisan yang terbaik sebelum dibenarkan membuat penampilan menyarung jersi Harimau Malaya.
Bekas ketua jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah berkata, hal ini kerana segelintir pemain naturalisasi dan warisan yang ada di Malaysia ketika ini tidak begitu menunjukkan persembahan yang memberangsangkan.
Beliau berkata, antara kriteria yang perlu ada adalah dengan memastikan seseorang pemain naturalisasi itu boleh menyumbang dan membantu untuk membangunkan bolasepak tanah air.
"Yang pemain warisan juga pastikan betul-betul ada kualiti dan bukan semata-mata (ambil kira) dia ada bapa Mat Salleh dan ibu warga Malaysia bukan bermakna dia boleh bermain bagus.
"Kita tengok prestasi dan sikap. Kita tak mahu pemain warisan 'kerek' (berlagak) dan tiada semangat patriotik.
"Saya bagi contoh Darren Lok. Jenis macam tu yang kita nak kalau nak ambil," katanya kepada Majoriti.
Ketika ditanya mengenai keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mempertimbangkan untuk menambah bilangan pemain warisan ke skuad kebangsaan, Azraai berkata, semuanya bergantung kepada ketua jurulatihnya, Kim Pan-gon untuk membuat penilaian.
Katanya, Pan-gon berhak menilai pemain yang bagus dan boleh dipanggil untuk menyertai latihan bersama skuadnya.
Namun, katanya, sekiranya pemain jati lebih menyerlah, tiada gunanya meletakkan pemain naturalisasi ke dalam sesuatu perlawanan.
"Sebagai contoh, kalau De Paula (Guilherme) dan Sumareh (Mohamadou) tak perform, lebih baik kita letak pemain jati.
"Setakat ini yang menunjukkan prestasi memberangsangkan seperti Darren Lok, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad. Jadi, buat apa kita nak ambil pemain naturalisasi yang tua tu," katanya lagi.
Terdahulu, FAM tidak menolak kemungkinan untuk menambah lagi para pemain warisan bagi memperkuatkan cabaran Harimau Malaya menjelang kempen Piala Asia 2023.
Perkembangan itu diumumkan sendiri presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sambil menegaskan bahawa pemain-pemain yang mencapai standard dimahukan sahaja bakal dipilih untuk menguatkan lagi skuad kebangsaan selepas ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram