Interaktif: Ketahui sebab harga ayam semakin meningkat


  • Massa
  • Ahad, 19 Jun 2022

Seorang pekerja memasukkan ayam ke dalam sangkar untuk diangkut ke pasar di Sepang, Selangor. Penternak juga menggesa kerajaan untuk menyegerakan pembayaran subsidi. — Reuters

HARGA ayam meningkat ke tahap yang dianggap membimbangkan hingga menjejaskan pengguna dan peniaga.

Di kebanyakan tempat, ayam standard dijual pada harga yang melebihi harga siling iaitu antara RM9.80 hingga RM10.50 sekilogram dan kadangkala sehingga RM17.90 sekilogram.

Harga siling bagi ayam standard yang ditetapkan Kabinet pada RM8.90 sekilogram sejak 5 Februari lepas dilanjutkan sehingga akhir bulan ini.

Dilaporkan kekurangan bekalan ayam sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri turut dibangkitkan pihak berkuasa dimana antara punca perkara itu berlaku disebabkan oleh permintaan tinggi dan penyakit ayam.

Industri ternakan ayam juga diberi amaran supaya tidak memanipulasi harga dengan mengurangkan bekalan, tetapi harga masih dinaikkan.

Berikut adalah beberapa sebab berlaku kekurangan bekalan semasa dan kenaikan harga ayam serta perkara yang perlu dilakukan untuk menangani isu tersebut:

Masalah rantaian bekalan dan peningkatan kos

Profesor ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata, ramai pengeluar ayam mengalami kerugian dan tidak dapat mengekalkan kos pengeluaran di bawah harga siling yang ditetapkan kerana peningkatan kos makanan import, kenaikan gaji minimum serta kekurangan buruh.

Menurutnya, hal itu juga menyebabkan banyak ladang ayam ditutup.

Kebanyakan makanan ayam yang terdapat di negara ini adalah diimport dengan makanan haiwan itu merangkumi 70 peratus daripada kos keseluruhan selain logistik, buruh, utiliti dan ubat-ubatan.

Sementara itu, pakar ekonomi Prof Dr Chung Tin Fah dari HELP University berkata, ringgit yang lebih rendah juga menyaksikan negara membeli makanan ayam pada harga jauh lebih tinggi.

Beliau berkata, masalah rantaian bekalan ditambah lagi dengan kelembapan ekonomi China dan perang Rusia-Ukraine turut menjejaskan harga bahan mentah.

Beliau menambah, harga minyak mentah, kos pengangkutan dan kos bahan lain juga berlaku peningkatan.

“Dunia telah berubah menjadi inflasi. Tiada alternatif lain yang murah.

“Jika inflasi gaji berlaku, ia akan menjadi lebih teruk. Kami melihat gaji minimum antara faktor utama kepada masalah rantaian bekalan,” katanya.

Permintaan yang melonjak

Pakar ekonomi kanan UOB Malaysia, Julia Goh berkata, kenaikan harga ayam adalah disebabkan gabungan kos dan permintaan yang lebih tinggi terutamanya dengan pembukaan semula ekonomi dan musim perayaan baru-baru ini.

"Walaupun langkah kawalan harga bertujuan untuk memastikan makanan keperluan menjadi mampu milik, kami melihat ia menjejaskan bekalan sewaktu kenaikan mendadak terjadi pada harga makanan global," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran, Dr Carmelo Ferlito berkata, kedua-dua permintaan dan bekalan menurun semasa perintah berkurung yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Dari segi permintaan, ini bermakna orang ramai tidak keluar makan di restoran dan hotel tiada pengunjung.

"Dari segi bekalan, terdapat kilang ditutup, memecat pekerja dan mengurangkan stok bahan mentah," katanya.

Dengan pembukaan semula ekonomi, Ferlito berkata, permintaan bergerak lebih cepat daripada bekalan, dengan pengguna mula keluar untuk makan dan hotel juga mula menerima pelanggan.

“Tetapi bagi pihak pembekal untuk meningkatkan semula memerlukan masa kerana mereka perlu melabur semula dalam pekerja, loji dan bahan mentah.

“Ia adalah pelarasan yang tidak boleh berlaku dalam sekelip mata. Ketegangan antara permintaan dan penawaran ini menjana kenaikan harga,” katanya.

Beliau berkata, harga perlu kekal tinggi buat sementara waktu bagi "memberi isyarat" kepada pihak penawaran bahawa peluang keuntungan sedang menunggu untuk dieksploitasi.

“Dengan bahagian bekalan 'bertindak balas' kepada isyarat ini untuk memenuhi permintaan, harga boleh menjadi kurang semula.

“Sebaliknya, kerajaan meletakkan harga siling di bawah harga pasaran, justeru ia mengecewakan dan memberitahu pihak pembekal supaya tidak meningkatkan harga,” katanya, sambil menambah bahawa ini telah menyebabkan kekurangan ayam terjadi dan memanjangkan tempoh ketegangan harga.

Apakah langkah yang diambil oleh kerajaan dan tindakan lain perlu dibuat?

Empat langkah jangka pendek sedang diambil kerajaan untuk menyelesaikan isu bekalan dan harga ayam termasuk menghentikan eksport ayam mulai 1 Jun ini.

Keperluan kelulusan permit (AP) untuk mengimport keseluruhan ayam standard dan bahagian ayam juga telah ditarik balik.

Goh dari UOB berkata, larangan eksport ayam hanya akan menjadi langkah sementara dan ia tidak akan dapat menyelesaikan isu bekalan untuk jangka masa sederhana.

Pengeluaran makanan mampan dan pasaran bebas

Beliau mencadangkan dengan menggalakkan pengeluaran makanan mampan dan pertanian yang mengurangkan tenaga buruh dan intensif sumber boleh menangani beberapa isu keselamatan makanan.

Yeah dari Universiti Sunway berkata, larangan eksport dan import ayam mungkin mempunyai kesan negatif yang tidak diingini seperti menyebabkan kerugian kepada pengeluar ayam yang mempunyai kontrak jangka panjang dengan pembeli asing dan mengurangkan kapasiti pengeluaran domestik apabila pemain keluar dari industri.

“Jika margin terus terhakis disebabkan harga kawalan di bawah pasaran di tengah-tengah peningkatan kos pengeluaran, keupayaan sara diri dan eksport negara akan terjejas secara negatif.

“Adalah penting harga kawalan diselaraskan untuk mencerminkan kos pengeluaran yang semakin meningkat supaya daya maju penternakan ayam tidak sejajar dengan realiti pasaran, di samping memastikan pemain industri tidak bersubahat dan menaikkan harga secara sewenang-wenangnya,” katanya.

Yeah mencadangkan subsidi disasarkan dan dibuat sementara untuk membolehkan pengeluar menghadapi kejutan kos.

"Dalam jangka panjang, penternak ayam harus digalakkan untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti melalui peningkatan teknologi dan meningkatkan skala ekonomi dalam pengeluaran untuk memenuhi pasaran domestik dan eksport."

Beliau berkata, industri itu juga perlu menangani pergantungan kepada import makanan ayam dan mempercepatkan langkah untuk menggalakkan penggantian import sebagai sebahagian daripada strategi pelaburan langsung domestik negara.

Selain itu, Ferlito dari Pusat Pendidikan Pasaran mencadangkan agar pasaran ayam tidak dikawal supaya ketegangan harga dapat diselesaikan dengan lebih cepat.

“Hanya import ayam boleh membantu, kerana ia berpotensi meningkatkan bekalan, tetapi dengan harga siling, di manakah insentif untuk mengimport?” katanya.

Malahan, katanya, perlu benarkan penternakan ayam di atas tanah yang tidak digunakan dan bawa masuk pekerja asing.

Chung dari Universiti HELP berkata kerajaan harus membenarkan penternakan ayam di tanah yang kurang digunakan di kawasan luar bandar untuk mengurangkan kesesakan bekalan.

"Kami mempunyai banyak tanah yang tidak digunakan dan kitaran pengeluaran untuk ayam mengambil masa beberapa minggu, iaitu tempoh yang lebih singkat berbanding dengan menternak lembu, sebagai contoh," katanya sambil menambah bahawa kerajaan perlu mengurangkan birokrasi dan pelesenan untuk penubuhan ladang ayam.

Tambahnya, kerajaan juga perlu membawa pulang pekerja asing bagi menangani masalah kekurangan pekerja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram