Bertumbuk di tengah jalan, pemandu Naza Ria halang laluan di Seksyen U1 jadi punca


  • 112
  • Rabu, 15 Jun 2022

Tangkap layar video tular menunjukkan dua lelaki bertumbuk selepas berlaku pergaduhan mulut antara mereka di Persiaran Kerjaya, Glenmarie di Shah Alam. — Facebook

DUA lelaki tular bertumbuk di tengah jalan raya selepas salah seorang daripada mereka menghalang dan enggan memberi laluan kepada beberapa motosikal untuk meneruskan perjalanan di Persiaran Kerjaya Glenmarie, Seksyen U1, Shah Alam pada Isnin.

Sebuah klip video yang dirakam seorang pemandu lain berdurasi 22 saat tular di media sosial memaparkan kedua-dua lelaki berkenaan bertumbuk berhampiran pembahagi jalan di laluan yang sesak tersebut sebelum dileraikan orang awam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, penunggang motosikal berusia 31 tahun yang bekerja sebagai jururunding di Subang Business Centre telah hadir membuat laporan pada Isnin.

"Siasatan awal mendapati pada Isnin sekitar puku 7.15 petang berlaku pertengkaran mulut apabila suspek seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun yang menaiki kereta jenis Naza Ria enggan mengetepikan keretanya.

"Keadaan itu menyebabkan motosikal mangsa dan penunggang yang lain tidak dapat meneruskan perjalanan. Pertengkaran mulut berlaku disusuli dengan pergaduhan akhirnya dileraikan oleh orang ramai," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Video yang tular di media sosial menunjukkan dua lelaki bertumbuk berhampiran pembahagi jalan di laluan sesak.

Beliau berkata, kedua-duanya lelaki berkenaan bagaimanapun bersetuju untuk menyelesaikan perkara tersebut dengan cara baik dan mangsa telah menarik balik laporan polis berkenaan.

"Mangsa dan suspek telah dipanggil untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut. Pengadu juga telah buat laporan polis untuk tarik balik laporan yang dibuat sebelum ini," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram