Faizal Azumu minta maaf, pening kena balun dengan ‘pemain ke-12’ Harimau Malaya


  • Podium
  • Selasa, 14 Jun 2022

Faizal pada Ahad menyatakan bahawa faktor luaran seperti kehadiran 63,000 penonton di stadium turut menjadi punca kekalahan pasukan negara di tangan Bahrain.

SELEPAS mendapat kritikan daripada ramai pihak, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tampil meminta maaf atas kenyataan yang 'menyalahkan' penyokong atas kekalahan Harimau Malaya dalam aksi kempen Kelayakan Piala Asia 2023 bertemu Bahrain pada Sabtu.

Terdahulu dalam kenyataan pada Ahad, Faizal berkata, faktor luaran seperti kehadiran 63,000 penonton di stadium ketika perlawanan berlangsung turut menjadi punca kerana ia boleh menyebabkan pemain negara hilang fokus.

Susulan itu, beliau membuat kenyataan maaf ditulis menerusi satu ciapan di akaun rasmi Twitter miliknya yang menyatakan bahawa kenyataan tersebut telah disalah ertikan dan dia sebenarnya melihat penyokong sebagai pemain ke-12 yang amat penting dan dihargai.

"Sorakan dan sokongan para penyokong sebagai pemain ke-12 amat penting dan amat dihargai.

"Bila dah kena balon (kritik), saya pun pening. Cakap-cakap bola saya sebelum ini telah disalah erti. Ampun dan maaf atas kesilapan saya," katanya pada Isnin.

faizal 1

Terdahulu, ramai pihak termasuk penyokong Harimau Malaya mengkritik kenyataan Faizal yang menyifatkan kekalahan pasukan negara itu disebabkan oleh sorakan penyokong.

Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin dalam satu kenyataan pada Isnin turut membidas kenyataan Faizal dengan menyifatkan kenyataan tesebut sebagai amat memalukan.

Menurut beliau, kenyataan yang dikeluarkan Ahmad Faizal tersebut adalah tidak matang dan seolah-olah tidak memahami konsep permainan bola sepak.

“Kenapa penyokong perlu dipersalahkan? Kami hadir memberikan sokongan dan penyokong Ultra Malaya berjam-jam bersorak dan menyanyikan lagu semangat agar pemain terus mengekalkan rentak permainan sehingga tamat perlawanan.

“Awak duduk di bangku VVIP pun bersorak juga. Kenapa nak salahkan penyokong-penyokong lain? Kalau tidak tahu membuat kenyataan, baik diam,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram