Penyokong tidak percaya 'rumour' bintang Thailand bakal sertai Sang Kenari


  • Podium
  • Rabu, 08 Jun 2022

Kittisak (tengah) merupakan tonggak kelab Suphanburi Football Club iaitu pasukan dari Liga 2 Thailand. — Facebook/Brainiac Management

SETELAH nama Youssef Elias Dolah menjadi bualan penyokong pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC, muncul seorang lagi pemain dari Liga Thailand yang dikatakan bakal menyertai skuad Hijau Kuning pada jendela perpindahan kedua kali ini.

Kittisak Hochin yang merupakan bintang Suphanburi Football Club dari Liga 2 Thailand, disebut-sebut akan menyertai KDA FC apabila sebuah poster rumours yang memaparkan wajah pemain itu sedang tersebar di laman media sosial.

rumour

Poster rumours yang mengatakan Kittisak bakal menyertai Sang Kenari. — Facebook KDA FC Fans

Namun, khabar berita perpindahan pemain itu seakan-akan kurang dipercayai penyokong Sang Kenari kerana peminat bola sepak tempatan sedia maklum bahawa mustahil bintang dari negara Thailand berminat untuk bermain di Malaysia.

Seperti yang dikatakan oleh ejen bola sepak terkenal negara, Effendi Jagan Abdullah kepada media sebelum ini bahawa pemain Thailand lebih memilih beraksi di Jepun, Korea Selatan, Vietnam atau negara mereka sendiri.

Malah, bukan hanya berasa ragu-ragu dengan khabar berkenaan, penyokong KDA FC turut risau sekiranya Sang Kenari hanya sekadar tangkap muat demi mengisi slot namun tidak melihat terlebih dahulu prestasi mereka bersama kelab asal.

"Buatlah pilihan dengan betul. Jangan pilih pemain asal boleh. Nanti kualitinya juga tidak bagus," kata Encik Scaman.

"Tak kenal pemain ini, main pun kelab Suphanburi. Memang satu kejutanlah jika kelab Malaysia mampu tarik pemain terbaik dari Thailand terutamanya pemain kebangsaan Thailand. Tapi setakat ini memang jauh panggang dari api kalau melibatkan pemain utama Thailand untuk ke Malaysia," ujar Al Riz.

"Tidak pernah dengar pun sebelum ini nama dia," kata penyokong KDA FC, Ahmad Bin Abdullah Mat.

Kittisak yang berusia 28 tahun merupakan pemain tengah bagi pasukan Suphanburi FC dan bersama pasukan itu dia berjaya tampil sebanyak 16 kali sepanjang perlawanan musim 2021/2022.

Untuk rekod, pemain yang mempunyai ketinggian 1.73 meter itu juga pernah menjadi tonggak utama bagi pasukan Bawah 16 (B-16) dan Bawah 19 (B-19) Tahun Thailand. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram