SKUAD Kedah Darul Aman (KDA FC) menjadi salah sebuah pasukan yang layak mewakili kelab pasukan Liga Malaysia (Liga M) untuk beraksi pada saingan Piala AFC 2022 selepas berjaya menempatkan diri di kedudukan kedua dalam saingan Liga Super musim 2021.
Ini menyaksikan skuad Hijau Kuning itu mendapat slot automatik yang membolehkan mereka menyertai kejohanan Piala AFC edisi 2022 dan diundi dalam kumpulan G yang turut melibatkan kelab-kelab dari Filipina (Kaya F.C. Ilo Ilo), Indonesia (Bali United FC) dan Kemboja (Visakha FC).
Meskipun menempa tiket ke pusingan kelayakan, KDA FC dilihat penyokong sebagai sekadar menjadi pelengkap kepada jadual AFC 2022 ekoran prestasi kurang mantap dan memberangsangkan daripada pasukan itu.
Seorang pemerhati sukan, Don K-Rul Izham merasakan terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kelemahan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu.
"Dalam enam perlawanan (persahabatan) awal, pasukan KDA FC tak bolos langsung, jadi ramai menjangkakan kita tak ada masalah di bahagian belakang, nampak solid.
"Tapi sebaliknya berlaku selepas liga berlangsung, itupun belum half season, pasukan merekodkan 17 kali bolos. Itu bermaksud Kedah tak dapat kesan masalah apabila bertemu pasukan yang betul-betul menguji pasukan.
"Salah tak salah. Cuma dari segi teknikal baik pemain atau pasukan tak banyak perubahan," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Don K-Rul Izham berpendapat, status lawan sedikit sebanyak akan memberi pasukan lebih butiran mengenai apa-apa masalah dalam kem pasukan.
"Betul (perlawanan persahabatan) friendly untuk menguji keserasian, menguji aspek taktikal, meningkatkan kecergasan pemain dan memberi lebih keyakinan dari segi moral atau composure.
"Tapi ia juga bergantung kepada satu faktor. Faktornya adalah pasukan lawan yang dipilih. Musim ini pasukan akan bermain dalam Piala AFC. Ia bukan satu kejohanan pelengkap jadual selepas pasukan berhempas pulas 'pulun' untuk mendapatkan slot tu," katanya.
Tambahnya, KDA FC juga menjadi pasukan yang kerap layak ke saingan Asean di sebalik masalah yang dihadapi antaranya seperti lesen, layak secara automatik ke saingan Liga Juara-Juara AFC 2023 (ACL) tanpa melalui play-off kelayakan, pandemik Covid-19 dan sebagainya.
Sayangnya, penyokong merasakan peluang itu dirasakan tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh KDA FC.
Justeru, katanya, tidak salah jika meletakkan harapan lebih untuk melihat pasukan itu lebih berdaya saing pada musim 2022.
Majoriti sebelum ini turut melaporkan penyokong skuad Sang Kenari resah dengan persiapan ala kadar pasukan itu kerana hanya bertemu lawan kelab-kelab dalam Liga M sebagai persediaan menghadapi Piala AFC 2022, sedangkan kelab itu sepatutnya bertemu lawan lebih kuat.
Untuk rekod, KDA FC bakal bertemu Juara Liga Indonesia dua tahun berturut-turut, Bali United pada aksi pembukaan Piala AFC 2022 bagi kumpulan G pada 24 Jun ini.
Selain Bali United, KDA FC juga akan bertemu Kaya FC Ilo Ilo (27 Jun) dan Visakha FC (30 Jun). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram