Faisal Halim masih membisu mahu kekal atau tidak bersama TFC


  • Podium
  • Jumaat, 10 Jun 2022

Aksi Faisal Halim (kiri) bersama skuad kebangsaan mendapat pujian penyokong bola sepak tempatan. — Bernama

TERENGGANU FC (TFC) Sdn Bhd berminat untuk menyambung kontrak pemain sayap kebangsaan Faisal Halim, yang bakal tamat pada 30 November depan.

Perkara itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh yang berharap, akan dapat terus menggunakan khidmat pemain kelahiran Pulau Pinang itu untuk musim akan datang.

"Kami di pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan memang sepakat dan berhasrat untuk melanjutkan kontrak Faisal untuk musim akan datang.

"Faisal pemain yang penting untuk TFC, jadi kita harap beliau dapat kekal bersama pasukan hitam putih pada musim akan datang," katanya.

faisal halim1

Faisal Halim (dua dari kanan) dijulang rakan sepasukan selepas menjaringkan gol ketika bertemu Brunei.

Bagaimanapun, Ab Rasid berkata, pihaknya masih belum menerima jawapan daripada Faisal yang ketika ini sedang bersama dengan pasukan Harimau Malaya untuk perlawanan kelayakan Piala Asia 2023.

"Alasan yang diberi pemain itu ialah dia (Faisal) mahu fokus kepada perlawanan mewakili Malaysia. Jadi dia belum fikir lagi untuk perkara sambung kontrak," katanya.

Faisal yang berusia 24 tahun itu mendapat perhatian kelab utama Liga Malaysia selepas mempamerkan aksi cemerlang pada perlawananan peringkat antarabangsa. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram