Suria FM catat lebih 3.4 juta pendengar seminggu


  • Hiburan
  • Selasa, 07 Jun 2022

Barisan penyampai radio di stesen Suria FM.

STESEN radio Suria FM berjaya menarik lebih daripada 3.4 juta pendengar seminggu sekaligus mencatatkan peningkatan jumlah pendengar sebanyak 11 peratus atau 350,000 pendengar.

Segmen Team Pagi Suria turut mengekalkan takhta peningkatan pendengar mingguan tertinggi sekali lagi iaitu sebanyak 18 peratus daripada pengukuran (Wave) sebelumnya dan juga peningkatan pendengar eksklusif tertinggi sebanyak 22 peratus di antara semua stesen radio berbahasa melayu untuk Wave 1, tahun ini.

Segmen Suria Cinta yang dihoskan oleh DJ Lin kekal sebagai segmen radio yang mempunyai tempoh masa mingguan tertinggi dihabiskan untuk mendengar (TSL) di antara stesen radio komersial berbahasa Melayu iaitu selama 2 jam 40 minit.

Manakala slot Gaya Suria dan Suria Petang yang dikendalikan oleh Sharifah Shahirah serta Tyzo mencatatkan trend peningkatan pendengar mingguan yang konsisten dan tertinggi.

ASDAF (4)

DJ Lin (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penghuni Asdaf sempena kempen Raya Suria FM tahun ini.

Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin, kejayaan yang diperolehi ini adalah hasil kerjasama padu yang diberikan oleh semua anak anak buahnya di Suria Fm.

"Dibantu dengan formula yang berkesan, fokus yang tinggi serta komitmen terbaik, Alhamdulillah hasilnya sangat menggembirakan.

"Kami di Suria sentiasa bersyukur dan akan berusaha untuk terus meneroka idea baharu sejajar dengan perkembangan teknologi digital masa kini," katanya.

Jelasnya, Suria FM juga sentiasa komited untuk meningkatkan prestasi radio dari segala aspek khususnya digital.

Ujarnya, peningkatan jumlah pendengar sebanyak 11 peratus serta sambutan luar biasa bagi seleksi program raya Suria akan menjadi pemangkin semangat untuk terus menghasilkan produk Suria yang berkualiti demi memenuhi kehendak serta kepuasan pendengar.

ASDAF (3)

Nabila Razali (kiri) dan Ajak ketika beramah mesra dengan penghuni Asdaf sempena Aidilfitri baru-baru ini.

Dalam pada itu, kempen Raya Suria FM pada tahun ini diakhirnya dengan menyantuni warga asrama di Asrama Darul Falah (Asdaf), Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur dengan mengadakan majlis jamuan raya, pengagihan Kotak Infak Suria, penyerahan sumbangan duit raya, sesi beramah mesra bersama penyampai Suria FM dan persembahan istimewa daripada penyanyi terkenal, Nabila Razali.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor yang turut hadir pada majlis tersebut mengucapkan rasa syukur dan berbesar hati dengan jalinan kerjasama melalui kempen bersama Suria FM dalam mengagihkan Kotak Infak Suria. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram