SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun menembak mati bapanya secara tidak sengaja dalam kejadian di Florida, Amerika Syarikat (AS), kata pihak berkuasa tempatan pada Isnin.
Anggota penguat kuasa undang-undang yang tiba di rumah mangsa berhampiran Orlando selepas mendapat panggilan kecemasan 911 mendapati ibu kanak-kanak itu, Marie Ayala sedang memberikan bantuan kecemasan kepada suaminya, Reggie Mabry.
Lelaki berusia 26 tahun itu meninggal dunia tidak lama kemudian di sebuah hospital.
Syerif Orange County, John Mina berkata, penguat kuasa pada mulanya mengesyaki lelaki itu telah menembak dirinya sendiri.
Katanya, bagaimanapun, anak sulung daripada tiga beradik itu kemudian memberitahu penyiasat bahawa bapanya ditembak oleh adiknya yang berusia dua tahun.
"Pistol yang digunakan untuk menembak bapanya itu berada di dalam beg di atas lantai. Anaknya telah menemui senjata api tersebut kemudian menembak bapanya dari arah belakang.
"Ketika kejadian bapanya bermain permainan video di komputer," katanya pada sidang akhbar seperti dipetik portal Local10.com.
Menurutnya, kedua-dua ibu bapa itu sedang menjalani perintah parol ketika kejadian selepas beberapa kesalahan pengabaian kanak-kanak dan penggunaan dadah.
"Berikutan itu, ibunya ditahan pihak berkuasa atas tuduhan menyebabkan pembunuhan akibat kecuaian dan memiliki senjata api ketika bergelar penjenayah," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram