Pejuang Muda buka pekung Anwar Ibrahim, pentaksub PKR


  • Politik
  • Selasa, 07 Jun 2022

Akif meminta Adam Adli berhenti berguru atau mengidolakan pimpinan PKR yang gagal dan kuat membohong seperti Anwar. — Ihsan Pejuang

BEKAS aktivis mahasiswa, Adam Adli yang baru memenangi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) perlu belajar dahulu sejarah perjalanan Langkah Sheraton sebelum membuat kenyataan secara semberono.

Ini kerana, Adam Adli dan Timbalan AMK baharu, Kamil Munim dilihat mewarisi sikap putar belit pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menafikan faktor pengkhianatan bermula adalah kerana desakan terhadap kepimpinan Mahathir yang diatur gerak oleh kepimpinan AMK dan PKR itu sendiri.

Ketua Penerangan Pejuang Muda Malaysia, Akif Rusli dalam kenyataannya pada Selasa berkata, Adam Adli juga mungkin tidak tahu yang AMK pernah keluar dengan formula karut bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya bersekongkol dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Azmin Ali ketika itu.

Akif berkata, punca keretakan Pakatan Harapan dimulakan dari dalam kelompok PKR itu sendiri apabila wujud pergeseran dalaman antara Anwar dan Azmin.

"Adakah wajar Adam Adli dan timbalannya hendak menyalahkan Mahathir?," persoalnya.

Tambah Akif, situasi bertambah buruk bila mana Anwar sendiri yang tidak menghormati sistem demokrasi dalam PKR.

"Apabila kartel Azmin yang menguasai pemilihan pada ketika itu, Anwar melantik kemnya yang kalah untuk menjadi benteng dalam Majlis Pimpinan Pusat dan di semua peringkat. Jadi, tidak timbul soal tidak adil jika inilah terjemahan semangat demokrasi yang dilaungkan," ujarnya dalam kenyataan itu.

Menurut Akif, AMK perlu belajar menjadi lebih matang dan berhenti menjadi pemuda protes jalanan yang tidak mahu mengakui fakta.

"Sokongan kepada Anwar oleh Mahathir juga diberikan, namun Anwar seperti biasanya yakin tanpa pembuktian. 'Strong, Convincing and Formidable' janji kosong Presiden PKR.

"Sebelum Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-9, Anwar menerima sokongan daripada Ahli Parlimen Pejuang termasuk Mahathir sendiri untuk mendapatkan jumlah yang 'Strong, Formidable and Convincing' seperti yang dijanjikan tetapi ini tidak berlaku kerana ianya kekal sebagai satu pembohongan," katanya.

Katanya, Adam Adli dan Kamil Munim jangan lupa yang satu ketika dulu, Anwar pernah berjanji untuk memenangi Pilihan Raya Umum berkali-kali sehingga sanggup berjanji untuk bersara dari dunia politik jika gagal.

"Berhentilah berguru atau mengidolakan pimpinan PKR yang gagal dan kuat membohong seperti ini.

"Langkah 16 September 2008 menyaksikan kesanggupan Anwar Ibrahim berusaha supaya Ahli Parlimen BN melompat parti bagi memberikan sokongan pada dia untuk cita-cita peribadi hendak jadi Perdana Menteri.

"Waktu itu tiada prinsip menentang lompat parti dalam kamus hidup dia. Lompat parti tidak jadi masalah kalau sokong dia. Itulah Anwar dengan kemunafikannya. Lompat benua tidak mengapa, asalkan sokongan pada dia," katanya.

Terdahulu, Adam Adli dilaporkan berkata obsesi bekas Mahathir yang sentiasa menyalahkan Anwar dalam semua perkara sudah menjadi ‘jenaka berkala’. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram