SPEKULASI posisi jurulatih baharu Perak FC yang dikhabarkan bakal diganti oleh bekas jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Ho mengundang banyak reaksi daripada penyokong.
Tambahan pula, dengan kehadiran beliau pada sambutan rumah terbuka Hari Raya XOX Berhad, di Kuala Lumpur pada Ahad, perkara itu menguatkan lagi khabar angin tersebut.
Berdasarkan hantaran di akaun Facebook, Seladang Fan Club, yang memetik laporan daripada media tempatan, kehadiran Cheng Hoe bersama Pengerusi XOX, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi pada majlis berkenaan juga menguatkan lagi andaian bahawa ada satu perubahan yang besar akan berlaku terhadap skuad Seladang itu.
Jika benar Cheng Hoe bakal menjadi pengendali baharu Perak FC, bagaimana pula dengan kedudukan jurulatih semasa, Yusry Che Lah?
Perkara itu turut menjadi persoalan dalam kalangan penyokong yang juga berpendapat bahawa pemilik baharu Perak FC itu tidak sepatutnya melupakan jasa jurulatih tersebut.
Menurut komen yang ditinggalkan Suhaimi Samad Man Mie, dia berharap agar Abdul Azim dapat mengekalkan Yusry dalam pasukan atas jasanya yang setia bersama pasukan itu saat susah dan senang.
Tulis Suhaimi, setidaknya jadikan Yusry sebagai pembantu jurulatih buat skuad Seladang.
"Andai Cheng Hoe betul jadi jurulatih Perak, harap kekalkan Yusry sebagai pembantu.
"Banyak pengorbanan Yusry semasa pasukan sedang jatuh sebelum ini, kenanglah jasa dia," katanya.
Sementara itu, Luqman Al Hakim pula mencadangkan supaya pemilik baharu Perak FC memberi fokus kepada Yusry dan memberinya peluang untuk membuktikan kemampuannya sebagai jurulatih terbaik buat pasukan itu.
"Sebelum kita fikir kedatangan Cheng Hoe lebih baik kita beri dulu fokus kepada Yusry.
"Dia adalah orang yang banyak berkorban di kala Perak FC jatuh, saya yakin dengan masa yang diberi, Yusry mampu beri yang terbaik,' ujarnya.
Dalam pada itu, Faizul Mohammad, pula berpandangan bahawa Yusry merupakan calon terbaik sebagai jurulatih Perak FC.
Menurutnya, semasa kejatuhan Perak FC, Yusry sudah melakukan yang terbaik bersama pasukan itu dan akan menjadi lebih baik tatkala skuad Seladang sudah berada bersama pemilik baharu.
"Pada pendapat saya Yusry (jurulatih) terbaik, di kala semua tidak bergaji dia masih setia bersama anak buah, jika cukup pemain mungkin sudah menang enam atau tujuh perlawanan.
"Tetapi Yusry terpaksa kitar semula 14 pemain sahaja, belum ada pasukan di dalam dunia berani datang dengan 14 pemain sahaja, terbaik.
"Yusry anda legenda yang setia bersama di saat jatuh bangun," komennya.
Terdahulu, Perak hanya menang dua daripada sembilan perlawanan pusingan pertama Liga Perdana menyaksikan skuad bimbingan Yusri itu berada di tangga tercorot.
Perak FC juga dijangka mendaftarkan 15 pemain termasuk Indra Putra Mahayuddin, Wan Zack Haikal, Zamer Selamat, Hafiz Ramdan dan Ahmad Syamim Yahya selepas jendela perpindahan kedua dibuka mulai Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram