SKUAD Bawah 23 tahun (B-23) negara membuat persiapan lebih baik bagi menghadapi Piala Asia B-23 2022 berbanding ketika beraksi pada temasya Sukan SEA Hanoi 2021 baru-baru ini.
Kapten, Mukhairi Ajmal Mahadi berkata, keserasian antara pemain yang dibentuk sejak tahun lalu menjadikan mereka kini lebih bersedia menghadapi kempen Piala Asia di Tashkent, Uzbekistan.
“Secara peribadi saya melihat persiapan pasukan kebangsaan kini menunjukkan peningkatan berbanding ketika kami berlepas ke Hanoi bagi menghadapi Sukan SEA.
“Bagi saya, perkembangan ini merupakan satu yang baik, ditambah pula dengan pemain-pemain sama dikekalkan. Situasi ini bakal membantu kami untuk mengharungi kejohanan Piala Asia.
“Apa yang penting, kami perlu memberikan fokus 100 peratus dan komitmen tinggi ketika beraksi dalam setiap perlawanan,” kata pemain muda Selangor FC itu.
Dalam pada itu, Mukhairi mengakui barisan serangan yang dibarisi dua pemain berpangkalan di luar negara - Luqman Hakim Shamsudin dan Hadi Fayyadh Abdul Razak agak tumpul.
Namun, dia percaya masalah itu dapat diatasi selepas melihat kedua-dua penyerang berkenaan bekerja keras memperbaiki penyudah mereka selepas tamat tugasan di Hanoi.
“Setakat ini kekurangan kita dari segi finishing. Tapi saya lihat Hadi dan Luqman berlatih bersungguh-sungguh bagi menajamkan lagi sentuhan jaringan masing-masing,” jelasnya.
Pada Piala Asia B-23 2022, Malaysia telah diundi bersama gergasi Asia, Korea Selatan serta dua pasukan dari negara jiran tetangga - Thailand dan Vietnam dalam Kumpulan C. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram