KHABAR angin mengejutkan datang dari kem pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila seorang pemain importnya iaitu Jang Suk-won dilaporkan mengalami kecederaan serius sehingga memaksa dia untuk terus menamatkan kariernya.
Suk-won menyertai Kedah pada awal musim ini setelah dua musim beraksi bersama pasukan Melaka United dan penampilan pemain itu setakat ini banyak mengundang kritikan daripada peminat Hijau Kuning.
Pertahanan import Kedah itu telah melepaskan 15 gol dalam enam perlawanan terakhir liga dan pemain berusia 32 tahun itu dianggap gagal untuk menampilkan prestasi terbaik setelah musim lalu dia tampil cemerlang bersama Melaka United.
Di sosial media pula, peminat sudah membuat permintaan kepada pengurusan pasukan Kedah untuk merekrut kembali pertahanan terbaik mereka pada musim lalu iaitu Renan Alves yang kini sedang bermain bersama pasukan PS Barito Putera di Liga 1 Indonesia.
Selain itu, terdapat khabar angin yang mengaitkan pemain-pemain import di dalam dan luar negara untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh Jang Suk-won jika dia bersara kelak.
Berikut adalah senarai pemain yang wajar disasarkan Kedah untuk memantapkan persedian skuad bagi mencabar kejuaraan Liga Super serta mengharungi kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Masalah disiplin dikatakan menjadi punca Renan digugurkan dari skuad Kedah pada musim ini walaupun beraksi baik tiga musim berturut-turut. — Agensi
1. Renan Alves (PS Barito Putera)
Pemain pertahanan kelahiran Brazil ini sangat diminati oleh penyokong-penyokong Hijau Kuning kerana semangat kesukanan dan ketangkasannya dalam menjaga benteng pertahanan Kedah pada musim lalu.
Renan telah menjadi tonggak utama buat jurulatih Kedah, Aidil Shahrin selama tiga musim berturut-turut. Dia juga berjaya membantu pasukan Sang Kenari mendapatkan slot dalam saingan AFC 2022.
Pemain berusia 29 tahun itu tampil dalam 14 perlawanan bersama PS Barito Putera yang kini menduduki tangga ke-15 daripada 18 pasukan.
Renan mampu menjadi pengganti yang sesuai untuk Suk-won dan saingan di AFC mungkin menjadi tarikan utama agar benteng kental itu kembali bersama Kedah.
Pernah dikaitkan bakal menjadi pemain warisan buat pasukan negara kerana didakwa mempuyai pertalian darah dengan negeri Kelantan. — Agensi
2. Elias Dolah (Port FC)
Pemain yang pernah dikaitkan dengan negara Malaysia kerana mempunyai pertalian darah di negara ini juga menjadi sasaran pengurusan pasukan Kedah untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh Suk-won.
Elias Dolah merupakan pemain pertahanan skuad kebangsaan Thailand dengan mempunyai fizikal dan ketinggian yang sempurna untuk diletakkan sebagai benteng terakhir pasukan Kedah.
Pemain berusia 29 tahun itu dapat menggantikan slot pemain Asean sekiranya ditinggalkan Suk-won kerana pengalamannya dalam saingan AFC bersama Port FC.
Elias tampil dalam 13 perlawanan bersama Port FC yang kini menduduki tangga kelapan Liga Thailand dan berpeluang menebus kekecewaan selepas gagal bersama kelab itu dalam siri kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Argzim telah menetap di Malaysia selama empat tahun dan telah mengahwini seorang gadis tempatan untuk dijadikan pasangan hidup. — Facebook
3. Argzim Redžović (Terengganu FC II)
Calon pemain naturalisasi negara iaitu Argzim Redžović yang telah bermain di Liga Malaysia selama empat musim kini bakal menjadi calon utama untuk menggantikan slot import buat pasukan Kedah.
Argzim mempunyai pengalaman luas dalam suasana Liga Malaysia apabila dia telah menjadi tonggak utama buat pasukan PDRM FC dan Terengganu FC selama empat musim berturut-turut.
Jika pasukan Kedah berjaya mendapatkan pemain ini, ia merupakan satu bonus buat pasukan Hijau Kuning kerana bek tengah itu pada musim hadapan sudah menepati syarat FIFA untuk melayakkan diri menjadi pemain tempatan.
Herold Goulon kini berada di prestasi terbaik beliau apabila berjaya menjadi tonggak utama buat pasukan Negeri Sembilan FC. — Facebook
4. Herold Goulon (Negeri Sembilan FC)
Pemain pertahanan yang pernah menjaringkan gol dari jarak jauh sehingga menarik minat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mencalonkan jaringan tersebut ke anugerah Puskas mungkin pengganti yang ideal buat Jang Suk-won.
Goulon yang baru sahaja menyertai pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC)pada musim ini, kini sedang berada pada tahap prestasi yang baik apabila membantu pasukannya berada di tempat ketiga di saingan Liga Super Malaysia 2022.
Bekas ketua pasukan Pahang ini memiliki cara permainan yang unik sebagai seorang pertahanan kerana mampu menjaringkan gol jika pasukannya memerlukan jaringan pada minit-minit akhir.
Malah berdasarkan rekod bolos NSFC dalam saingan Liga Super, skuad Jang Hobin merupakan kelab empat paling sikit bolos dengan tujuh gol di belakang, JDT (3 bolos), Terengganu FC (5 bolos) dan Sabah FC (6 bolos).
Carli de Murga bekas ketua pasukan Terengganu pada musim lalu kini bukanlah pilihan utama buat pengendali JDT, Benjamin Mora. — Facebook
5. Carli de Murga (Johor Darul Ta'zim)
Carli de Murga pemain kelahiran Sepanyol yang berusia 33 tahun yang mewakili pasukan Filipina ini merupakan pemain terbaik pertahanan di rantau Asia Tenggara.
Pemain ini baru sahaja menyertai pasukan juara lapan kali Liga Super Malaysia pada musim ini selepas mempamerkan aksi yang baik bersama pasukan Terengganu pada musim lalu.
Setakat ini, Carli tampil sebanyak lima kali dalam saingan Liga Super, masing-masing sekali di Piala FA dan AFC.
Kehadirannya ke Kedah bakal memberinya lebih peluang beraksi di peringkat tertinggi Asia memandangkan dia kurang beraksi di AFC bersama JDT.
Pasukan Kedah mungkin boleh cuba untuk memikat pemain ini kerana di JDT Shane Lowry dan Shahrul Saad telah menjadi pilihan utama Benjamin Mora sebagai tonggak utama pasukan itu selain spekulai mengatakan bintang sensati naturalisasi Indonesia, Jordi Amat akan menyertai Harimau Selatan pada jendela perpindahan kedua hujung Mei. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram