PEMINAT sukan bola sepak tanah air sudah pasti merindukan suasana sengit di antara pasukan-pasukan yang bertanding di dalam Liga Super Malaysia sebelum kemunculan Johor Darul Takzim (JDT) yang diketuai oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ).
JDT atau lebih dikenali sebagai Harimau Selatan berjaya mengekalkan kejuaraan Liga Super dari tahun 2014 sehingga 2021 tanpa dicabar oleh mana-mana pasukan yang bertanding.
Kesungguhan TMJ dalam merevolusikan kelab bola sepak Johor mendatangkan hasil apabila kelab itu berjaya mencatat sejarah baru sebagai pasukan pertama dari Asia Tenggara yang memenangi Piala AFC pada tahun 2015 di Dushanbe, Tajikistan.
Kelab selatan tanah air itu juga pernah merekodkan perlawanan tanpa kalah pada tahun 2016 dan 2020 dengan menyaksikan JDT memenangi piala bersalut emas pada tahun 2016 sebelum perubahan bentuk piala Liga Super Malaysia.
Trofi baharu Liga Super Malaysia yang diperkenalkan pada tahun 2017.
Selepas perlawanan JDT menentang Sri Pahang pada Rabu yang menyaksikan keputusan berkesudahan seri, pasukan Harimau Selatan itu kini sedang menduduki tangga pertama liga tanpa sebarang kekalahan.
Susulan keputusan perlawanan itu, rata-rata penyokong tanah air sudah membuat andaian tentang calon juara Liga Super Malaysia 2022 yang mungkin akan berpihak kepada JDT sekali gus menjadikan mereka juara sembilan kali berturut-turut.
Komen-komen penyokong bola sepak berkenaan JDT bakal menjuarai Liga Super Malaysia pada musim ini. — Facebook
Menurut Encik Sani di akaun Facebook miliknya, sudah hampir sembilan tahun berlalu tetapi hanya beberapa kelab sahaja yang ada inisiatif sendiri untuk menaik taraf fasiliti latihan di kelab masing-masing.
"Dah sembilan tahun berlalu, kelab lain masih dekat situ juga, hanya beberapa pasukan di dalam liga sahaja yang fokus kepada pembangunan fasilit pusat latihan masing-masing," katanya dalam Facebook.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Akmal Haziq berasa individu-individu penting yang menjaga bola sepak di dalam kelab atau persatuan harus mengubah cara mereka berfikir dan peminat juga perlu menyokong pasukan kesayangan masing-masing.
"Penat tengok liga Malaysia, dah 2022 rasanya penyokong dan beberapa individu penting dalam bola sepak perlu ubah 'mentality' dan penyokong pun perlu berhenti menggeluarkan komen menggunakn emosi," ujarnya.
Noorfaez Muhammad Noor pula berkata: "Masalah ini bukan di liga sahaja, ACL pun sama, takkan nak kata benda sama? Ayuh bangkit, ini tak asal penalti kalah sahaja semua salah JDT."
Salim Dolmat pula menulis : "Semua mampu sebut tangan ghaib, tapi tak mampu sebut nama siapa tangan ghaib sebenar dengan bukti-bukti kukuh, tunding senang, berubah tak mahu."
JDT kini menduduki tangga teratas Liga Super Malaysia 2022 tanpa sebarang kekalahan. — Facebook
Skuad bimbingan Benjamin Mora kini menduduki tangga teratas liga tanpa sebarang kekalahan dan telah menjaringkan 15 gol dan dua daripadanya merupakan sepakan penalti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram