Rekod Kedah dalam bahaya


  • Podium
  • Isnin, 16 Mei 2022

KDA FC dan NSFC mempunyai hajat tersendiri dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman pada Selasa.

KEDUDUKAN Johor Darul Takzim (JDT) sebagai pendahulu liga buat masa ini memang sukar untuk dirampas pasukan lain, apatah lagi skuad Harimau Selatan mempunyai momentum untuk kekal tanpa kalah dalam saingan Liga Super buat masa ini.

Tidak mustahil, perebutan tempat kedua liga antara Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pastinya bertambah mendebarkan, apatah lagi kedua-dua pasukan itu akan bertemu sesama sendiri pada Selasa.

Jika dilihat di atas kertas, kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertemu pada 2 November tahun lalu yang mana KDA FC menang 3-0 ke atas NSFC.

Malah, menerusi lapan perlawanan sebelum ini, KDA FC menang enam perlawanan dan mencatatkan seri sebanyak dua kali.

Ini bermakna NSFC langsung tidak mempunyai rekod kemenangan ke atas KDA FC dalam rekod lapan pertemuan terakhir (head to head).

280303340_425913549370001_2528679182860778172_n

Rekod pertemuan antara KDA FC dan NSFC sepanjang lapan perlawanan sebelum ini. — Facebook

Jurang jaringan bagi kedua-dua pasukan juga sangat besar dengan 24 gol dijaringkan KDA FC dan hanya tujuh gol disumbat NSFC sepanjang lapan kali pertemuan itu.

Namun jika dinilai daripada segi prestasi semasa, NSFC sebenarnya lebih berpotensi untuk menang apatah lagi mereka hanya kalah sekali sahaja di dalam liga ke atas JDT.

Ini menunjukkan yang NSFC berada di tahap kemuncak untuk menang ke atas KDA FC yang sebelum ini gagal meraih tiga mata dalam tiga perlawanan sebelum ini.

Harapan KDA FC kini terletak kepada penyerangnya, Ronald Ngah atau juga digelar dengan nama Pak Ngah yang sudah mula mendapat rentak selepas dikecam penyokong akibat prestasi hambarnya.

Susah Kedah nak menang ke atas Negeri Sembilan

Rekod berdasarkan perlawanan kedua-dua pasukan dengan lawan mereka sebelum ini juga sebenarnya jelas menunjukkan yang KDA FC berada di zon yang bahaya, sekali gus sukar mengekalkan rekod kebal tanpa kalah ketika berdepan NSFC pada Selasa.

Perkara itu diakui seorang penyokong KDA FC, Mat Usop yang berkata bahawa keadaan akan bertambah sukar jika NSFC menurunkan kesebelasan utama mereka.

279920916_422084256419597_9075414210312721967_n (1)

Harapan terletak ke atas Ronald Ngah yang kini mula mendapat rentak bersama KDA FC. — Facebook

"Kalau tengok pada rekod NSFC, mereka menang ke atas Sabah FC, PJ City dan seri dengan Selangor FC.

"Sedangkan KDA FC kalah teruk dengan bolos empat gol ke atas Sabah FC dan Selangor FC serta sekadar seri dengan PJ City," katanya.

Mahu atau tidak, KDA FC perlu menang ke atas NSFC untuk kekal berada di kelompok tiga teratas dalam liga.

Pada masa sama, skuad Sang Kenari juga perlu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram