5 kuda tua yang masih segar dalam Liga Super


  • Podium
  • Isnin, 16 Mei 2022

Shukor Adan antara pemain paling lama yang beraksi dalam liga tempatan iaitu selama 24 tahun sebelum bersara.

SIAPA kata usia boleh menghalang seseorang untuk beraksi dalam bola sepak? Kadang kala, kehadiran kuda tua itu yang sebenarnya membangkitkan semangat pasukan untuk beraksi dengan baik.

Malah, pengalaman yang dimiliki pemain senior sebenarnya sangat penting terutamanya dalam menggerakkan strategi pasukan ketika bermain.

Piala Dunia yang bakal berlangsung pada November depan juga sebenarnya mempunyai beberapa pemain tua antaranya penjaga gol Jepun, Eiji Kawishima (39); pemain Brazil, Dani Alves (39) dan Thiago Silva (38); pemain Croatia, Luka Modric (37) dan pemain Portugal, Christiano Ronaldo, 37 tahun.

Di dalam saingan liga tempatan juga masih ada jurulatih yang memilih pemain tua untuk bersama dalam pasukan atas dasar kemampuan dan pengalaman yang dimiliki.

Antaranya yang paling dikenang adalah Muhammad Shukor Adan yang memenangi Piala Malaysia 2021 bersama KL City pada usia 41 tahun.

Namun Shukor memilih untuk menutup sebagai pemain profesional apabila mengumumkan persaraan pada awal Disember tahun lalu, sekali gus mengakhir kariernya dalam bola sepak selama 24 tahun.

Berikut Majoriti senaraikan lima pemain berusia yang masih ditagih khidmatnya oleh jurulatih untuk bersama pasukan masing-masing.

WhatsApp Image 2022-05-15 at 7.24.21 PM

Amri Yahyah

1. Amri Yahyah

Posisi: Penyerang/ Pemain Sayap

Kelab: Sabah FC

Umur: 41

Tarikh Lahir: 21 Januari 1981

Walaupun sudah berusia 41 tahun, Amri Yahyah atau juga dikenali dengan nama Wak Am masih lagi menjadi taruhan pasukannya kini, Sabah FC.

Pada musim lalu, Amri telah membuat 21 penampilan bersama Sabah FC dan menjaringkan 4 gol.

Sepanjang kariernya, Amri paling lama beraksi bersama skuad Selangor sejak 2001 hingga 2013 sebelum berhijrah ke Johor Darul Ta'zim pada 2014 hingga 2016.

Selepas itu dia beraksi bersama Melaka United pada 2017 sebelum kembali semula ke pangkuan Selangor pada 2018 hingga 2019.

Pada 2020, Amri berhijrah pula ke Sarawak United dan kini beraksi bersama skuad Sabah FC.

Sepanjang kariernya, dia telah merangkul 19 trofi iaitu Liga Super, Piala FA, Liga Premier termasuk dua trofi antarabangsa, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Piala AFF 2015.

Terbaharu, Wak Am mencipta rekod sebagai pemain paling tua melakar hatrik ketika menundukkan KDA FC dalam saingan Liga Super pada April lalu.

matyo55_1648966263

Norshahrul Idlan Talaha

Norshahrul Idlan Talaha

Posisi: Penyerang

Kelab: Melaka United

Umur: 36

Tarikh Lahir: 8 Jun 1986

Menginjak usia 36 tahun, Norshahrul Idlan Talaha atau juga dikenali sebagai Matyo sebenarnya membuat kejutan ketika dia memilih untuk bersama Melaka United bagi saingan Liga Super.

Matyo memulakan karier profesionalnya pada 2003 bersama Perak namun beliau mula menempa nama dengan Kelantan di bawah kendalian B. Sathiananthan.

Beliau kemudian berhijrah ke JDT pada penghujung 2012 sebelum berpindah ke ATM pada 2015, Terengganu (2016), Felda United (2017), Pahang (2018), BG Pathum United (2020) dan Sarawak United (2021).

Matyo juga merupakan sebahagian daripada skuad kebangsaan yang memenangi Piala AFF Suzuki 2010, naib juara Piala AFF Suzuki 2014 dan naib juara Piala AFF Suzuki 2018.

Sepanjang kariernya, beliau meraih 11 trofi termasuk Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA, Piala AFF dan Liga Thailand.

WhatsApp Image 2022-05-15 at 7.26.50 PM

S. Kunanlan

Kunanlan Subramaniam

Posisi: Pemain tengah

Kelab: Johor Darul Ta'zim

Umur: 36

Tarikh Lahir: 15 September 1986

Beraksi di bahagian tengah, Kunanlan memang dikenali sebagai pemain yang cukup terkenal dengan kelajuan lariannya.

Malah, ramai pemain pertahanan gagal mengawal Kunanlan disebabkan kelajuannya berlari.

Kunanlan memulakan kerjayanya dalam bola sepak bersama dengan skuad Selangor bawah 19 tahun pada 2003 hingga 2005.

Dia kemudian berhijrah pada 2006 hingga 2012 bersama Negeri Sembilan, Selangor (2012-2014) sebelum disambar JDT pada 2015 hingga kini.

Sepanjang aksinya sebagai pemain bola sepak, Kunanlan telah meraih 18 trofi termasuk Liga Super, Piala Malaysia, Piala Sumbangsih dan Piala FA.

Di peringkat antarabangsa, Kunanlan turut memperoleh trofi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 2015, Pingat Emas Sukan Sea Laos (2009) dan juara Piala AFF Suzuki 2010.

WhatsApp Image 2022-05-15 at 7.28.27 PM (1)

Azamuddin Akil

Azamuddin Akil

Posisi: Penyerang, sayap

Kelab: Kedah Darul Aman FC

Umur: 37

Tarikh Lahir: 16 April 1985

Azamuddin Akil atau juga dikenali dengan nama Alex mula beraksi untuk skuad Pahang bawah 21 tahun pada 2003 hingga 2005.

Dia kemudian beraksi bersama beberapa pasukan lain iaitu Shahzan Muda (2005-2008); UPB-MyTeam (2008-2010); Pahang (2010-2015); JDT (2016-2017), Selangor (2019) dan Kedah (2019 hingga kini).

Sepanjang kariernya, Azamuddin telah meraih 10 trofi termasuk Liga Super, Piala Malaysia, Piala Sumbangsih dan Piala FA.

Azamuddin juga antara yang membantu negara untuk bergelar naib juara dalam Piala AFF pada 2014.

WhatsApp Image 2022-05-15 at 7.35.59 PM

Azmi Muslim

Azmi Muslim

Posisi: Pertahanan

Kelab: Penang FC

Umur: 36

Tarikh lahir: 17 Oktober 1986

Azmi Muslim dikenali sebagai pemain pertahanan yang cukup kebal untuk dibolosi dan mempunyai perwatakan yang tegas di dalam padang.

Sepanjang kariernya, Azmi telah beraksi untuk 10 pasukan iaitu UPB-MyTeam (2006-2008); Kedah (2008-2011); ATM (2012); JDT (2013); Felda United (2013); Selangor (2014-2016); PKNS (2017); Melaka United (2018) Perlis (2019) dan kini bersama Penang FC sejak 2020.

Dia antara pemain yang pernah membantu negara mendapat naib juara dalam Piala AFF 2014 dan pingat emas dalam Sukan Sea Laos pada 2009. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram