Harapan penyokong Perak FC buat pemilik baharu


  • Podium
  • Isnin, 16 Mei 2022

Aksi seorang pemain Perak FC cuba melepaskan diri daripada pemain Penang FC.

WALAUPUN kalah 1-4 dengan pasukan Penang FC dalam saingan Piala FA, penyokong masih memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan Perak FC.

Apatah lagi dengan kesetiaan pemain yang sanggup beraksi walaupun dengan ketiadaan gaji sebelum ini, kesungguhan setiap pemain sangat dihargai termasuklah dalam perlawanan menentang Penang FC.

Malah, di sebalik sokongan itu, penyokong Perak FC sebenarnya masih menyimpan harapan untuk skuad The Bos Gaurus kembali meniti kegemilangan menjadi antara pasukan terkuat dalam saingan liga.

281029534_144656058111731_9042697510887084561_n

Kesebelasan utama skuad The Bos Gaurus yang turun menentang Penang FC baru-baru ini.

Perkara itu bagaimanapun terpulang kepada pemilik baharu untuk merancang strategi terbaik terutamanya dalam pemilihan pemain yang akan diambil beraksi bersama pasukan.

Syarikat pengendali rangkaian mudah alih maya XOX Berhad (XOX) dijangka memuktamadkan urusan pengambilalihan Perak FC pada Selasa.

Perkara itu disahkan pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi yang berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti dan diluluskan termasuk membabitkan tunggakan gaji bekas pemain pasukan itu.

"Kita akan buat bayaran kepada semua pemain supaya dapat daftarkan pemain-pemain baharu. Kita akan melabur untuk membangunkan bola sepak negeri dan berharap penglibatan kita dalam pasukan ini dapat menaikkan semula kegemilangan Perak sebagai jaguh bola sepak negara," katanya.

Seorang penyokong Perak FC, Abam Braderr berharap bahawa pemilik baharu dapat memberi tumpuan kepada beberapa perkara asas seperti pusat latihan, pembentukan fizikal dan diet pemain.

280883691_144621068115230_6591035107336363913_n

Sebahagian daripada penyokong Perak FC yang turun memberi sokongan.

"Pemain semua boleh main bola tetapi kurang daripada segi fizikal sahaja. Macam budak-budak sekolah bola tengok pemain.

"InsyaALLAH jika perkara yang disebut tadi diberi perhatian, kita boleh menjadi pencabar liga lagi dua ke tiga tahun," katanya.

280959424_144655634778440_7020356254279148776_n

Yusri Che Lah masih setia menjadi jurulatih Perak FC sehingga kini.

Sementara itu, Hadis Abu Bakar pula berpendapat yang Perak FC perlukan pemain yang berpengalaman untuk bersama pasukan.

Syairazi Fauzi juga berharap supaya hal-hal pengurusan pasukan dan segala sekatan perpindahan dapat diselesai dengan baik.

Perak FC kini berada di tangga terbawah dalam saingan Liga Premier selepas hanya mencatatkan dua kemenangan dalam lima perlawanan sebelum ini dan dikenakan pemotongan enam mata ekoran terpalit isu tunggakan gaji. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram