Pemilihan enam bulan selepas PRU, Umno pinda Perlembagaan parti


  • Politik
  • Ahad, 15 Mei 2022

Antara perwakilan yang hadir pada PAU Khas kali ini.

PERWAKILAN pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) Khas bersetuju untuk meminda Perlembagaan parti, yang kini menyaksikan pemilihan parti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Parti itu meminda Perkara 10.16.1, 15.3 serta 18.2 Perlembagaannya untuk tujuan tersebut.

Pindaan itu dibentangkan oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Ahad.

Menerusi pindaan Perkara 10.16.1, majlis tertinggi boleh menangguhkan pengundian di peringkat majlis tertinggi, bahagian dan cawangan.

Penangguhan itu tidak boleh melebihi 18 bulan dari pilihan raya sepatutnya atau dalam tempoh enam bulan selepas PRU akan datang.

Pindaan kepada Perkara 15.3 kini membolehkan majlis tertinggi menangguhkan pemilihan parti bagi tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri, tetapi ia mesti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas PRU.

Sementara itu, bagi pindaan Perkara 18.2, pengundian bagi ketua cawangan, timbalan dan 15 ahli jawatankuasanya boleh diadakan selepas PRU.

Seramai 2,586 perwakilan yang hadir sebulat suara menyokong pindaan tersebut.

Umno telah menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 yang berakhir pada 30 Jun tahun lepas.

Ini bermakna pemilihan parti bagi penggal 2021/2023 mesti diadakan sebelum 30 Disember tahun ini.

Bagaimanapun, PAU pada Mac lalu bersetuju untuk menangguhkan pemilihan parti sehingga enam bulan selepas PRU15 bagi membolehkan parti itu memberi tumpuan kepada PRU.

Terdahulu, Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Umno telah memaklumkan kepada Pendaftar Pertubuhan mengenai keputusannya untuk mengadakan mesyuarat luar biasa pada 15 Mei bagi meminda Perlembagaan parti. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram