
LIMA sekeluarga yang baru berpindah ke rumah baharu mereka di Taman Sri Perkasa di Ipoh, Perak dua hari lalu digemparkan dengan kejadian tanah runtuh selepas dinding perimeter kediaman mereka roboh dalam insiden berkenaan,
Mangsa, seorang ejen insurans bebas, Dina Liz Ismail, 37, berkata, sebahagian cerun bersebelahan rumah mereka di Laluan Lapangan 3 runtuh ketika kejadian ribut pada awal pagi Ahad (15 Mei).
“Berlaku kejadian bekalan elektrik terputus kira-kira pukul 5 pagi, dan kami dapat lihat air berlumpur mengalir di jalan di hadapan rumah kami menuruni cerun.
"Kira-kira pukul 6 pagi, dinding perimeter mula retak dan kemudian runtuh bersama sebahagian cerun. Ia adalah saat yang menakutkan bagi kami kerana ini benar-benar tidak dijangka," tambahnya.
Dina Liz berkata, struktur rumah itu telah diperiksa pemaju dan didapati masih stabil.
"Pemaju memaklumkan mereka akan membaiki kerosakan dan menempatkan kami di inap desa berhampiran," katanya sambil menambah bahawa pembaikan mengambil masa kira-kira dua minggu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7 pagi.
“Sejurus selepas tiba, kami memeriksa lokasi untuk memastikan tiada sesiapa yang cedera.
“Kami menasihatkan pemilik rumah terbabit dan dua lagi penduduk yang tinggal berhampiran tanah runtuh supaya mengosongkan kediaman mereka buat masa ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk, Datuk Zul Zukree Zakaria berkata, beliau percaya tanah runtuh itu berpunca daripada projek pembangunan berhampiran.
“Sejak projek itu dimulakan kira-kira dua tahun lalu, terdapat banyak banjir kilat di sini.
“Kali ini, sebahagian cerun runtuh. Kami berharap Majlis Bandaraya Ipoh akan (melihat) perkara ini secara serius dan mengambil tindakan sebelum lebih banyak insiden berlaku,” tambahnya.
Dalam pada itu, bekas pensyarah, Noah Wong yang sudah hampir sedekad menetap di kawasan itu berkata, jalan di luar rumah mereka sering dinaiki air apabila hujan lebat.
"Ia menjadi lebih teruk sejak setahun lalu dan hanya menunggu masa sebelum air memasuki rumah kami," kata lelaki berusia 57 tahun itu.
Naib Pengerusi MCA Gopeng, Cally Ting berkata, beliau akan cuba mencari penyelesaian kepada banjir kilat yang berterusan di sana.
“Kita akan berjumpa dengan semua pihak berkaitan termasuk pemaju projek dan Datuk Bandar.
“Kira-kira 106 penduduk telah mengumpul tandatangan untuk diserahkan kepada Datuk Bandar meminta beliau meneliti isu di sini. Kita semua ingin mengetahui punca utama banjir kilat dan menyelesaikannya," katanya.
Bekas Ahli Majlis Bandar Raya Ipoh, Kok Pak Foo berkata, terdapat dua kejadian tanah runtuh di sepanjang jalan di kawasan itu.
“Saya percaya sistem perparitan tidak lagi mampu menampung jumlah air yang mengalir lebih-lebih lagi ketika hujan lebat. Banyak rumah baharu turut dibina berhampiran,” kata Kok yang juga naib pengerusi MCA Gopeng.
Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh pula berkata, hujan lebat dan ribut petir sebelum subuh menyebabkan beberapa kawasan di kawasannya dinaiki air.
Beliau berkata, ini termasuk Kampung Seri Kinta, Kampung Pasir Puteh dan Taman Pengkalan Harapan, dengan lebih 50 rumah terjejas.
“Kami menggesa pihak berkuasa tempatan mencari punca kejadian banjir kilat itu. Kawasan yang tidak pernah dinaiki air kini semakin dinaiki air.
"Kerajaan negeri perlu mempunyai rancangan untuk menangani perubahan iklim, kerana kita kini melihat kesannya," tambahnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram