Sri Pahang FC ada kualiti tertentu, sejarah besar di pentas Piala FA


  • Podium
  • Jumaat, 13 Mei 2022

Sri Pahang bergelut dengan prestasi tidak konsisten dalam saingan Liga Malaysia.

PENTAS Piala FA menjadi medan terbaik buat Sri Pahang FC untuk memulihkan reputasi dan semangat pemain ekoran aksi lemau dalam siri perlawanan Liga Super.

Terbaharu, skuad Tok Gajah itu tewas 1-2 kepada Sarawak United FC dalam saingan Liga Super, sekali gus menyaksikan Sri Pahang FC menduduki tangga kelapan liga dengan mengumpul tujuh mata selepas tujuh perlawanan.

Dengan aksi yang kurang konsisten itu, penyokong Sri Pahang dilihat semakin hilang sabar dengan mutu kendalian ketua jurulatih Christophe Gamel yang hanya mencatatkan dua kemenangan dalam Liga Super.

Malah ketika melayakkan diri ke pusingan kedua Piala FA, Sri Pahang FC diheret ke penentuan sepakan penalti untuk menewaskan Manjung City FC pada 23 Mac lalu selepas terikat 0-0 dalam tempoh perlawanan sebenar.

Namun di sebalik prestasi terumbang ambing Tok Gajah, ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN, Hassan Sazali Waras tetap menghormati lawan seperti Sri Pahang FC yang lebih berpengalaman selain mahu anak buah menikmati sebaiknya aksi pada Sabtu.

Jelasnya, dia tidak menjangkakan apa-apa kejutan tetapi ingin barisan pemain beraksi sebaiknya dalam memberi saingan hebat kepada anak buah Christophe Gamel memandangkan ini adalah kali pertama Skuad Projek FAM-MSN mara ke pusingan kedua Piala FA.

“Saya tidak boleh nak jangka apa-apa kejutan yang boleh berlaku tetapi kita akan bermain seperti biasa di mana ini adalah perlawanan yang agak besar kepada kami memandangkan ia kali pertama kami layak ke pusingan kedua Piala FA.

“Tetapi saya harus akur dengan pasukan lawan yang tidak boleh dipandang rendah sebab mereka ada kualiti tertentu dan sejarah yang besar terutamanya di pentas Piala FA.

“Cuma kali ini saya akan bagi ruang kepada pemain-pemain yang masih belum beraksi sebelum ini untuk malam esok (Sabtu), jadi mereka yang pernah bermain boleh rehat sebelum aksi Liga Premier lawan UiTM FC, minggu depan”, katanya seperti dilaporkan MFL.

Empat perlawanan pusingan kedua Piala FA akan berlangsung pada Sabtu di mana dua lagi aksi adalah membabitkan Melaka United FC menentang PJ City FC dan Perak FC menerima kunjungan Penang FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram