'Kenapa kena dengki dengan JDT?'


  • Podium
  • Khamis, 12 Mei 2022

Pengendali JDT, Benjamin Mora (baju hitam) meraikan kemenangan pasukannya ke atas Ulsan Hyundai. — Facebook

DI sebalik aksi cemerlang yang dipamerkan pasukan gergasi Johor Darul Takzim (JDT) selepas melakar sejarah mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia (ACL), ada sebahagian penyokong bola sepak tanah air rupanya masih tidak gembira dengan pencapaian skuad Harimau Selatan.

Seorang peminat bola sepak, Muhammad Fahmi Iqmal berasakan, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana usaha yang ditunjukkan oleh JDT untuk sampai ke tahap itu sememangnya memerlukan pengorbanan tinggi.

"Saya tengok ramai penyokong bola sepak mahu JDT kalah di pentas ACL, bagi saya la kan, kita tidak boleh nak dengki dengan JDT kerana usaha mereka memang sangat tinggi.

"Wang yang pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dah korbankan untuk JDT, TMJ pun pernah cakap yang semua tu tidak memberi keuntungan pun kepada dia," tulisnya di Facebook (Liga Super Malaysia 2022).

fahmi jdt

Hantaran status Muhammad Fahmi di Facebook (Liga Super Malaysia 2022). — Facebook

Muhammad Fahmi berkata, dia sangat menghormati pasukan JDT kerana kejayaan pasukan itu memperkenalkan Malaysia di mata legenda bola sepak dunia.

"Disebabkan mereka (JDT), Lionel Messi, Neymar, Cristiano Ronaldo dan legenda-legenda Liga Perdana Inggeris (EPL) tahu yang negara Malaysia mempunyai team bola sepak yang baik.

"Apabila diorang dengar nama Malaysia, mereka sudah tahu ada pasukan yang hebat di sana. JDT juga dapat membuatkan team Liga Malaysia yang lain cuba untuk menjadi seperti mereka," katanya.

Tambahnya, JDT juga mampu membuatkan Liga Super Malaysia menjadi liga profesional seperti Liga Thai.

"Saya penyokong Sri Pahang sendiri akui benda tu. Saya tak dengki apabila Pahang kalah dengan JDT sebab lihat pengorbanan skuad itu dari pelbagai aspek.

"Dan saya harap JDT akan menjadi juara ACL. Alang-alang dah banyak menang biar juara terus. Saya juga ingin berpesan agar anda semua janganlah bergaduh dalam group peminat bola sepak ini.

"Saya tahu anda semua sekadar mahu uji mental masing-masing, nak tengok siapa yang 'koyak', tapi kita wajib menjaga hati orang lain," katanya.

Untuk rekod, menerusi kemenangan terhadap Ulsan Hyundai, JDT berjaya bergelar juara Kumpulan I dengan mengumpul 13 mata sekali gus mengesahkan slot ke pusingan seterusnya.

Menerusi kumpulan itu, JDT sebenarnya bukanlah pasukan pilihan apatah lagi bersama dengan dua kelab gergasi Asia iaitu Kawasaki Frontale dan Ulsan Hyundai.

Kawasaki Frontale merupakan juara empat kali Liga 1 Jepun (JI) dalam tempoh lima tahun manakala Ulsan Hyundai pula adalah juara ACL 2022 dan mempunyai rekod tanpa kalah setakat ini dalam Liga 1 Korea (K1 League). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram