'Kami datang ke Johor bukan untuk kalah'


  • Podium
  • Jumaat, 13 Mei 2022

Sarawak United akan berkunjung ke Johor untuk menentang JDT dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA. —Facebook

DENGAN momentum kemenangan menewaskan Sri Pahang FC 2-1 pada perlawanan Liga Super pada Selasa, Sarawak United kini berbekal moral yang tinggi untuk berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Piala FA pada Sabtu, 14 Mei.

Dalam perlawanan tersebut, Sarawak United bangkit pada babak kedua apabila menjaringkan dua gol, masing-masing satu menerusi Nur Shamie Iszuan Amin dan Uche Agba pada minit ke-54 serta 72.

Ketua jurulatih Sarawak United, B Satiananthan bagaimanapun mengakui masih belum berpuas hati dengan prestasi sebenar skuad itu.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu berkata, skuad itu perlu lebih agresif dan mantap jika mahu bersaing dengan pasukan lebih berpengalaman.

"Berdasarkan prestasi pada perlawanan (menentang Sri Pahang), masih banyak yang perlu dipertingkatkan terutama daripada segi penguasaan bola.

"Bagi saya penguasaan bola masih kurang dan pemain perlu lebih bersemangat untuk meletakkan Sarawak United pada kedudukan terbaik," katanya.

Menjelang pertemuan dengan JDT, penyerang Sarawak United FC, Nur Shamie menganggap penyerang import JDT, Fernando Forestieri antara ancaman besar yang perlu diawasi untuk aksi pusingan kedua Piala FA itu.

Menyifatkan Forestieri antara salah seorang penyerang yang berbahaya, Shamie percaya sekiranya pasukan mempamerkan disiplin terbaik atas padang, tidak mustahil kemenangan mampu menjadi milik mereka.

Jelasnya, JDT pastinya akan menurunkan kesebelasan terbaik dalam memastikan slot sukh akhir dalam genggaman, namun Sarawak United lebih bersedia dalam menghadapi tentangan tuan rumah terutamanya beberapa pemain import mereka.

“Kami datang ke Johor berdepan JDT bukan untuk kalah, walaupun kita tahu mereka bukan mudah untuk ditewaskan lagi-lagi bermain di laman sendiri.

“Tetapi kami akan cuba buat yang terbaik dan apa-apa sahaja boleh and berlaku dalam tempoh 90 minit perlawanan.

“Kami akan memberi lebih tumpuan kepada beberapa pemain mereka seperti Forestieri sebab kita tahu dia memang seorang pemain yang mempunyai larian pantas dan ada teknik yang cikup baik.

“Tetapi kalau kami lebih berdisiplin malam esok (Sabtu), tidak mustahil kita akan dapat mengawasi dengan lebih baik pemain-pemain mereka malam esok”, katanya seperti dilaporkan MFL.

JDT masih mengekalkan momentum tanpa kalah dalam saingan Liga Malaysia sama ada perlawanan Piala FA dan Liga Super, dan kini menduduki tangga teratas liga dengan 15 mata selepas lima perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram