Devan masih belum berpuas hati prestasi NSFC


  • Podium
  • Sabtu, 07 Mei 2022

PERTAHANAN NSFC, Herold Goulon (kanan) melonjak tinggi bagi mengeluarkan bola ketika berdepan Sarawak United pada aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching pada Jumaat. — Foto Bernama

BIARPUN menerajui takhta Liga Super ekoran kemenangan 2-1 ke atas Sarawak United di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak pada Jumaat lalu, pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan menyifatkan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki skuad kendaliannya itu.

Menurut Devan, skuad Hoben Jang Hoben itu perlu memperbaiki beberapa kelemahan khususnya untuk mengekang asakan-asakan lawan terutamanya dari set-piece yang dilihat seringkali memerangkap benteng pertahanan.

“Bagi saya, masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki untuk kita mengharungi baki saingan musim ini.

“Antara yang perlu diperbaiki adalah dari segi set-piece kerana sekali lagi pintu gol kita dibocori hasil daripada situasi ini (set-piece).

“Apa pun, saya percaya masalah ini akan dapat diatasi dan benteng pertahanan kita dan seterusnya dapat memastikan pintu gol kita sukar untuk dibolosi lagi pada perlawanan akan datang,” katanya.

Pada aksi di Stadium Negeri, Kuching itu, Sarawak United lebih dahulu berjaya membuka jaringan menerusi Boris Kok yang menanduk masuk pada minit ke-51.

Bagaimanapun, NSFC bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pertahanan import, Herold Goulon pada minit ke-64 sebelum Matheus Alves merembat gol kedua pada minit ke-69 bagi mengesahkan kemenangan pelawat.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Jang berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah selain merampas kedudukan pendahulu Liga Super daripada Johor Darul Takzim (JDT) dengan meraih 14 mata hasil empat kemenangan dan seri dua kali setelah mengharungi enam perlawanan setakat ini.

Sementara itu Devan mengakui memang sukar bagi skuad kendaliannya itu berdepan Sarawak United, di hadapan penyokong mereka sendiri.

Bagaimanapun katanya, kesemua pemain dilihat berjaya menyerap semua tekanan yang ada sebelum memberikan aksi terbaik khususnya pada separuh masa kedua bagi menghasilkan kemenangan pasukan.

“Bagi saya, Sarawak United memang pasukan yang bahaya, terutamanya menerusi hantaran-hantaran jauh yang dilakukan.

“Namun setelah pintu gol kita dibocori, saya memberitahu pemain untuk memberikan aksi yang terbaik dan sepakan penalti yang diperolehi dilihat sebagai 'turning point' untuk kita pada perlawanan ini.

“Ini kerana, setelah menyamakan kedudukan, kesemua pemain dilihat semakin bersemangat untuk mengasak dan kemudiannya berjaya menjaringkan gol kedua bagi memastikan kemenangan,” katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

NSFC, Sarawak United, Liga Super, K Devan, JDT