Lima poin menarik pertemuan panas JDT - The Jang


  • Podium
  • Rabu, 11 Mei 2022

NSFC bukanlah satu pasukan kuat tetapi tetap memiliki kelebihan tersendiri. — Facebook

PENGURUS legenda Nottingham Forest, mendiang Brian Clough pernah berkata, dia tahu pasukannya akan menang atau kalah sewaktu melihat pemain turun dari bas lagi. Maknanya apa? Ya, kekuatan sesuatu pasukan itu terletak pada keyakinan.

Jika ada secubit rasa sangsi akan kemampuan pasukan untuk menang, maka kita telah kalah sebelum kaki menginjak rumput stadium. Brian Clough tahu keyakinan pemain dari riak muka dan aksi mereka turun dari bas lagi.

Kalau kau tak percaya, malam ini (Rabu) kau datang awal dań lihat gaya pemain Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Johor Darul Takzim (JDT) turun bas.

Keyakinan bukanlah satu hal yang boleh dibuat-buat atau dilakonkan. Ia memerlukan mental kuat yang telah lama dipasak ke dalam jiwa. Hatta ada penyokong sendiri tidak yakin NSFC akan menang. Ini sangat mendukacitakan namun Jang faham. Realistik? Pergi neraka dengan realistik.

Izinkan Jang merencanakan lima hal mustahak yang perlu diketahui sebelum sepak mula:

1) JDT tidak akan membenarkan pemain lawan memegang bola

Ini yang selalu Jang perhatikan dalam kebanyakan perlawanan. Pasukan lawan yang tidak memegang bola akan gagal mencipta gerakan, moral runtuh dan hilang pertimbangan. Apa yang NSFC perlu lakukan adalah mengambil langkah sama, jangan bagi JDT pegang bola lebih dari empat kali passing. Membenarkan JDT memegang bola lama adalah resipi untuk bencana.

2) JDT akan turun dengan mentaliti ‘menang sudah tentu, berapa gol kita mahu’

Jadi mereka akan bermain mencari gol kemenangan. Di kala ini, NSFC hanya perlu bertahan kerana JDT tanpa gol pada separuh masa pertama akan mula koyak. Mereka juga boleh runtuh moral dan hilang pertimbangan kerana kita semua adalah manusia biasa. Jang dah saksikan semasa mereka kalah final Piala Malaysia.

3) JDT adalah sebuah pasukan yang kuat tetapi bukan sempurna

Skuad Harimau Selatan ini juga ada kelemahan. Begitu juga dengan kita. NSFC bukanlah satu pasukan kuat tetapi kita ada kelebihan tersendiri. Jadi jangan gugup dan jangan rasa rendah diri. Kita bermain di laman sendiri. Penyokong ada dan akan turun memberi sokongan.

4) K. Devan tahu bagaimana mahu menang ke atas JDT

Ketua jurulatih NSFC telah melakukannya sebelum ini bersama Petaling Jaya (PJ) City. Apa yang pemain perlu lakukan adalah mengikut arahan beliau, mengurangkan kesilapan dan memastikan peluang digunakan sebaiknya.

Contohnya, tendangan sudut adalah peluang yang baik dan telah terbukti apabila tonggak NSFC, Zaquan Adha mengambil sepakan sudut yang sempurna untuk pemain tengah The Jang, Herald Goulon mencipta gol dalam perlawanan lepas. Jika sepakan sudut atau tendangan percuma disiakan, maka peluang mencipta gol menjadi sukar.

5) Tiada pasukan di dunia ini yang tak boleh dikalahkan

Penyokong akan ramai dan menyokong tanpa prejudis. K.Devan dah beri latihan secukupnya. Sekarang terpulang kepada pemain untuk mencipta kemenangan.

Terpulang kepada pemain untuk berasa yakin atau ragu. Kita adalah juara Liga Perdana dan kini pemimpin Liga Super, maka kita turun dengan rasa bangga dan maruah yang membara.

Perkara paling mustahak untuk penyokong, turun awal untuk elak kesesakan, terutama dalam mencari parkir. Jaga kelakuan dan adab sopan kerana kita adalah bangsa bermaruah.

Jaga kebersihan kerana kita pernah bersekolah. Pengurusan stadium, terutama keselamatan juga Jang harap memberi kerjasama terbaik. Apabila penyokong suka dan selesa turun stadium, mereka akan datang lagi. Apabila turun stadium adalah perkara menyusahkan, mereka tidak akan muncul semula (kecuali separuh akhir). — Ultra Jang

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram