AKSI Liga Super antara Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) merupakan antara perlawanan yang paling dinantikan bukan sahaja penyokong kedua-dua pasukan tetapi seluruh peminat bola sepak tanah air memandangkan masing-masing memegang rekod tanpa kalah musim ini.
NSFC bakal bertemu JDT untuk aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, Negeri Sembilan pada Rabu.
Meskipun penyokong NSFC mengharapkan kemenangan buat perlawanan tersebut, mereka pada masa sama tidak menafikan bahawa JDT merupakan pasukan yang mudah untuk dikalahkan dengan status sebagai penyandang juara Liga Super selama lapan tahun berturut-turut.
Seorang pemilik akuan Facebook, Tengku Mazrul Tengku Zainal berkongsi pendapat sama dengan menyatakan bahawa sebagai peminat NSFC, setidaknya pasukan itu dapat memberikan saingan hebat dan jika boleh meraih keputusan seri dengan JDT.
"Ramai pemerhati bola sepak, peminat-peminat seluruh bola sepak Malaysia menunggu menunggu perlawanan NSFC dan JDT, dua-dua rekod tanpa kalah.
"Sebenarnya kalau ikutkan kekuatan, JDT terlalu kuat untuk NSFC tetapi hanya satu yang perlu diingat, main di Stadium Paroi, Seremban, Negeri Sembilan, padang tidak sama seperti di JDT, bermakna ada kelebihan di pihak kita," tulisnya dalam satu hantaran pada Selasa.
Tambahnya lagi, tidak dinafikan pasukan NSFC baru naik ke Liga Super, dan dia tidak meletakkan harapan untuk pasukan menang, namun kalau boleh pasukan tidak kalah, tetapi seeloknya seri.
"Kalau menang nanti takut bangga pula penyokong NSFC, tunggu sahaja perlawanan esok, menang, kalah atau seri, NSFC tetap di hati untuk selamanya," ujarnya lagi.
Hantaran Tengku Mazrul turut mendapat respons daripada penyokong NSFC yang bersependapat dengannya.
Seorang pemilik akaun, Muhammad Syazwan Kamarudin menulis di ruangan komen mengakui jika dilihat pada rentak permainan, tahap NSFC masih jauh berbanding JDT.
"Perlawanan dua pasukan teratas carta, tapi kita kena akui bahawa tahap NSFC jauh berbanding JDT, kalau tengok rentak permainan dengan Harimau Sekatan di Liga Juara-Juara Asia (ACL), silap-silap kita akan senasib dengan Guangzhou.
"NSFC kena main dengan bijak, pertahanan perlu buat serangan balas yang padu, kalau main terbuka bahaya," ujarnya.
Dalam pada itu, Faez Syabil juga menyatakan perkara sama namun menyifatkan jika NSFC mendapat keputusan seri menentang JDT ia sudah menjadi bonus kepada pasukan itu.
"Kualiti JDT dan NSFC bagai langit dan bumi, agak susah untuk pasukan menang walaupun main di tempat sendiri.
"Bukan untuk menidakkan kemampuan NSFC tetapi jurang antara dua pasukan ini terlalu jauh, lagi pun kita baru naik Liga Super tahun ni," katanya.
Tambahnya lagi, dia juga berharap NSFC dapat bagi saingan yang kuat terhadap JDT.
NSFC kini mendahului carta Liga Super dengan 14 mata selepas enam perlawanan, dua mata di depan JDT yang masih kurang dua perlawanan.
JDT menang dalam semua empat perlawanan manakala skuad kendalian K. Devan menang empat kali dan seri dua kali dalam kesemua enam perlawanan musim ini.
Kemenangan ke atas anak buat Benjamin Mora akan mengukuhkan cengkaman NSFC di persada liga, sekali gus mencalarkan rekod tanpa kalah JDT. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram