Sumber KFA, CEO respons isu gaji pemain Kedah tertunggak


  • Podium
  • Selasa, 10 Mei 2022

KDA FC dilihat kurang menyerlah dalam aksi Liga Super musim ini. — Facebook/KDA FC

KHABAR angin tentang berlakunya tunggakan gaji yang dikaitkan sebagai punca prestasi kurang memberangsangkan pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim ini masih menjadi tanda-tanya.

Berita yang dibongkarkan oleh seorang penyokong KDA FC itu dikatakan telah didedahkan daripada salah seorang pemain kelab berkenaan yang enggan dikenali.

Namun, menurut sumber terdekat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), pihaknya enggan mengulas tentang dakwaan tersebut kerana ia melibatkan urusan dalaman pasukan.

"Kami tidak boleh komen, biarlah ia sekadar menjadi khabar angin," katanya kepada Majoriti.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali, turut memberi respons tentang isu tunggakan gaji yang didakwa mempengaruhi prestasi pemain.

Katanya kepada media, beliau menafikan perkara tersebut berlaku dan KDA FC tidak berdepan dengan masalah gaji seperti yang didakwa.

Untuk rekod, KDA FC dilihat kurang menyerlah dalam aksi Liga Super musim ini selepas tewas dalam dua perlawanan terakhir menentang Melaka United FC (2-3) dan Sabah FC (0-4).

Skuad Sang Kenari itu juga dibelasah teruk oleh Selangor FC (1-4), selepas melakar kemenangan tipis dalam tiga perlawanan menentang Sarawak United FC (1-0), Kuala Lumpur City FC (3-2), dan Sri Pahang FC (1-0).

Pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak itu juga hanya menang tipis 2-1 dalam perlawanan menentang Penang FC.

Disebabkan prestasi goyah Sang Kenari musim ini, kecoh di media sosial pada Selasa bahawa ia didakwa ada kena mengena dengan tunggakan gaji pemain yang didakwa berlaku sejak empat bulan lepas.

Pada 2021, isu tunggakan gaji pemain Kedah mengejutkan peminat apabila mereka dilaporkan berdepan masalah tunggakan gaji sejak lebih lima bulan sebelum dijelaskan sepenuhnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram