KEKALAHAN 1-2 kepada Sri Pahang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Sabtu, diharap tidak menjejaskan fokus KL City untuk melayan kunjungan Penang di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur bagi aksi Liga Super pada Selasa.
Pengendali KL City, Bojan Hodak berkata, kesemua pemain perlu segera melupakan kekalahan kepada skuad Tok Gajah, sebaliknya memberikan fokus berdepan Harimau Kumbang dalam usaha bangkit melakar kejayaan.
“Dalam tempoh tiga hari kita akan berdepan Penang FC, satu lagi perlawanan yang saya jangkakan agak sukar bagi kita.
“Kedua-dua pasukan dilihat mempunyai sama rata 50-50 bagi mencatatkan kejayaan..oleh itu saya ingatkan kepada semua pemain agar dapat mengekalkan fokus masing-masing bagi mengharungi perlawanan berkenaan.
“Sekali gus, kembali bangkit bagi mencatatkan kemenangan dan seterusnya mengukuhkan kedudukan pasukan,” katanya pada Sabtu.
Mengulas mengenai aksi berdepan Sri Pahang, Bojan berkata, pihaknya menyifatkan penjaga gol Pahang, Mamadou Samassa sebagai pemain terbaik perlawanan berkenaan.
Katanya, penjaga gol itu beraksi cemerlang dengan menyelamatkan banyak percubaan rangkaian serangan The City Boys.
“Apa yang boleh saya katakan, jika ada anugerah pemain terbaik, sudah tentu ia menjadi milik penjaga gol Sri Pahang.
“Apa pun, kita juga harus menyalahkan diri sendiri kerana gagal menjaringkan gol di sebalik deretan peluang yang diperolehi,” katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram