KETUA jurulatih Selangor FC II, Rusdi Suparman berpuas hati dengan persembahan anak buahnya walaupun hanya seri 1-1 ketika berdepan Kelantan United FC pada aksi perlawanan Liga Premier di Stadium UiTM, Shah Alam, Selangor malam Isnin.
Rusdi berkata, ini kerana kebanyakan pemain bawah 21 tahun diturunkan susulan enam pemain seniornya menyertai skuad kebangsaan bola sepak lelaki Sukan SEA ke-31 di Vietnam.
"Saya dapati pemain baharu yang digalaskan tanggungjawab sebagai pemain kesebelasan utama menunjukkan prestasi cukup baik apabila satu ketika kita dapat dahului pasukan lawan dengan 1-0. Ini bukan mudah terutama pasukan Kelantan United mempunyai tiga pemain import," katanya pada sidang media di Shah Alam pada Isnin.
Rusdi berkata, momentum pasukannya bagaimanapun sedikit goyah apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain ekoran Muhammad Haiqal Haqeemi Hairi dilayangkan kad merah selepas pengadil perlawanan melayankan kad kuning kedua kerana membantah keputusan pengadil pada minit 64.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Kelantan United, Syamsul Mohd Saad mengakui ketinggalan satu gol seawal lapan minit pertama permainan menyebabkan keyakinan dan mental pemainnya agak tergugat sehingga melakukan beberapa kesilapan.
"Gol pertama pihak lawan itu mungkin boleh dielakkan namun kerana terlalu 'gementar’ kita banyak lakukan kesilapan yang saya rasa pada ketika mereka tenang, mereka tidak akan melakukan sedemikian," katanya sambil berterima kasih kepada para pemain kerana berhempas pulas mendapatkan gol penyamaan.
Pada perlawanan Isnin, gol pertama diraih Selangor 2 hasil sepakan kencang Abdul Rahman Daud sebelum Kelantan United menyamakan kedudukan pada minit ke-78 hasil tandukan kemas Muhammad Aliff Najmi Shaaini. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram