Ragut pembaca berita, dua suspek bersaudara ditahan


  • 112
  • Sabtu, 07 Mei 2022

TANGKAP layar rakaman kejadian ragut yang dirakam pengguna jalan raya melibatkan seorang pembaca berita TV3.

DUA suspek ditahan bagi membantu siasatan kes penyampai berita, Khairul Rizuan Azizan yang cedera diseret ketika cuba mengejar penjenayah yang memecah tingkap keretanya, di Damansara Perdana, Selangor pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supritendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang masing-masing berumur 31 dan 24 tahun itu ditahan di Puncak Alam, Selangor.

Katanya, polis juga mengesan barang kes dipercayai hasil kejadian samun itu, termasuklah sebuah kereta yang digunakan oleh suspek dalam jenayah itu.

"Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek lelaki mempunyai empat rekod penyalahgunaan dadah, 15 rekod jenayah dan dua rekod masih disenarai hitam, bagi kes penyalahgunaan dadah.

"Suspek wanita itu pula tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Terdahulu, dalam kejadian jam 3.40 petang itu, Khairul Rizuan, 34, luka di tangan, jari kanan serta lutut kanan akibat diseret kereta dipandu suspek yang melarikan diri.

Ketika kejadian, beliau meletak kereta miliknya di tepi jalan untuk ke sebuah kedai serbaneka.

Kejadian itu turut tular di media sosial selepas pelakon dan penyanyi popular, Janna Nick, yang secara kebetulan melalui lokasi kejadian memuat naik rakaman kamera papan pemuka di akaun Instagram dan Tiktok miliknya.

Ku Mashariman berkata, kedua-dua suspek akan dibawa ke hadapan Majistret Mahkmamah Petaling Jaya pada esok untuk permohonan reman bagi melengkapkan siasatan.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun hingga mendatangkan kecederaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram