Laporan polis terhadap wakil rakyat buat tuduhan liar dos penggalak tamat tempoh


  • 112
  • Jumaat, 06 Mei 2022

Liew Leong Yee menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya pada Jumaat.

PERGERAKAN Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) membuat laporan polis terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pending, Violet Yong Wui Wui kerana mendakwa kerajaan negeri menggunakan vaksin Covid-19 tamat tempoh sebagai dos penggalak.

Penolong Setiausaha Pemuda SUPP Pusat, Liew Leong Yee berkata, dakwaan wakil rakyat berkenaan menerusi hantaran di akaun Facebook disifatkan sebagai tuduhan liar.

Menurutnya, terdapat dua video di laman Facebook milik Violet yang menuduh kerajaan Sarawak menggunakan rakyat sebagai bahan uji kaji untuk menggunakan vaksin tamat tempoh.

"Ia jelas adalah tuduhan yang tidak berasas. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) dan kerajaan Sarawak sudah mengeluarkan beberapa kenyataan bahawa pengeluar vaksin sudah melanjutkan tarikh luput vaksin masing-masing kepada tarikh yang lebih lama.

"Justeru, dos penggalak yang kita gunakan bukanlah vaksin yang sudah tamat tempoh seperti yang didakwa," katanya.

Violet dalam video yang disiarkan di laman Facebook pada 28 April lalu mempersoalkan kesahihan dos penggalak kedua yang didakwanya sudah luput tarikh.

Malah, beliau turut menuduh kerajaan menjadikan rakyat sebagai bahan uji kaji untuk mengenal pasti keberkesanan vaksin dos penggalak itu.

Menurut Leong Yee, kenyataan Violet itu berniat cuba menimbulkan ketakutan kalangan rakyat.

"Susulan kenyataan tidak bertanggungjawab itu, ramai yang enggan meneruskan untuk menerima dos penggalak kedua sekali gus menyebabkan usaha kerajaan Sarawak dalam memerangi Covid-19 terganggu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram