Misi mega NSFC, cantas JDT pastikan kekal di puncak liga


PEMAIN NSFC, Zaquan Adha cuba melepasi pemain Sarawak United dalam perlawanan pada Jumaat,

PASUKAN Negeri Sembilan FC (NSFC) pada Jumaat masih berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Liga Super selepas menang ke atas Sarawak United dengan keputusan 2-1.

Keputusan itu juga kini menempatkan Skuad Jang berada di puncak liga dengan kelebihan dua mata di atas Johor Darul Ta'zim (JDT).

Bakal bertemu dengan pasukan gergasi, JDT, pada Rabu depan, penyokong NSFC mengharapkan supaya rekod tanpa kalah pasukan itu dapat dikekalkan.

Seorang penyokong Skuad Jang, Abe Arief berkata, sasaran utama adalah untuk mengalahkan JDT supaya NSFC dapat terus kekal di puncak liga.

WhatsApp-Image-2021-03-06-at-11.19.15-PM

NSFC pernah menewaskan JDTII 2-1 pada Liga Premier tahun lalu.

Kemar KJ pula berkata, amat penting untuk NSFC mengutip mata dengan pasukan lain.

"Penting sebenarnya NSFC ambil peluang dan kutip mata dengan pasukan lain. Seri atau menang dengan JDT adalah bonus," katanya.

Seorang lagi penyokong, Zul Aiman turut menyatakan harapannya supaya NSFC sekurang-kurangnya dapat seri dengan JDT pun sudah mencukupi.

Syukri Syuk pula berharap yang NSFC dapat mengekalkan rentak permainan sepanjang perlawanan.

"Jangan awal-awal sahaja bagus tapi dah nak hujung perlawanan tak ok pula. Kekalkan untuk berada di tangga tiga teratas pun dah cantik. Lagipun baru naik liga balik," katanya.

NSFC merampas status pendahulu Liga Super daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Sarawak United di Stadium Negeri, Kuching pada Jumaat.

Bagaimanapun dalam aksi itu, Sarawak, yang bergelut di zon penyingkiran, terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Boris Kok pada minit ke-51, sebelum pelawat menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Herold Goulon pada minit ke-64 selepas Gonzalo Soto mengasari pemain kelahiran Ghana, David Mawutor di dalam kawasan penalti.

Selang lima minit kemudian skuad kendalian K Devan berjaya meraih jaringan kemenangan menerusi penyerang import dari Brazil Matheus Alves, yang berjaya melakukan larian solo dan mengatasi tiga pemain Sarawak sebelum merembat masuk bola ke gawang pada minit ke-69.

Tiga mata di laman lawan itu menyaksikan Negeri Sembilan merampas status pendahulu daripada JDT dengan 14 mata selepas enam perlawanan, diikuti juara bertahan JDT yang mempunyai 12 mata selepas empat aksi, Sabah (12 mata, enam perlawanan) dan KDA (12 mata, tujuh perlawanan). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram