Lelaki Johor ditembak sejam lepas daftar masuk hotel di Bukit Bintang


  • 112
  • Rabu, 04 Mei 2022

Polis masih menyiasat motif kejadian dan senjata api yang digunakan belum dijumpai.

SEORANG lelaki tempatan ditemukan maut dengan kesan tembakan di dahi dalam kejadian di sebuah bilik hotel di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, petang Selasa, sejam selepas mangsa mendaftar masuk.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, perkara itu disedari seorang pekerja hotel berkenaan yang memasuki bilik tersebut dan kemudian menghubungi polis pada kira-kira 7 malam.

"Mangsa seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun berasal dari Johor mendaftar masuk ke hotel berkenaan pada 6 petang tadi (Selasa). Polis telah menahan rakan sebilik mangsa bagi membantu siasatan," katanya.

Habibi berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan senjata api yang digunakan belum dijumpai.

Sementara itu, The Star melaporkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, dua lagi suspek telah dikenal pasti berhubung kes pembunuhan terbabit.

Menurutnya, kedua-dua suspek merupakan lelaki tempatan dalam lingkungan 40-an dan 50-an.

“Kami juga telah menahan reman suspek pertama yang ditahan pada Selasa hingga 9 Mei lalu bagi membantu siasatan lanjut.

“Kami kini sedang mengesan keberadaan dua lagi suspek,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Noor Dellhan berkata, polis masih berusaha untuk menentukan motif pembunuhan dan mencari senjata pembunuhan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram