PEMINAT bola sepak tempatan dinasihatkan supaya tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap skuad negara dalam kejohanan Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.
Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir berkata, kejohanan Sukan SEA seharusnya dijadikan sebagai medan pemain-pemain muda negara menimba pengalaman untuk lebih berjaya pada masa hadapan.
“Secara realistiknya, sasaran ke peringkat separuh akhir sudah memadai, namun sekiranya mereka gagal melepasi peringkat kumpulan, kita tidak boleh anggap mereka gagal.
“Kita harus akui bahawa taraf bola sepak kita sedang ketinggalan dengan negara-negara seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia dan kita sedang berusaha untuk memperbaiki mutu dan kualiti permainan,” katanya kepada Majoriti.
Beliau berkata, beberapa kejohanan bola sepak yang terpaksa dihentikan akibat Covid-19 dalam dua tahun kebelakangan ini harus diambil kira menyebabkan pemain muda negara tidak mempunyai peluang untuk beraksi secara kompetitif.
Tambahnya, dengan banyak kejohanan yang terpaksa dilalui pada tahun ini iaitu Piala AFF Suzuki B-23, Sukan SEA, Sukan Asia dan Piala Asia B-23, mereka memerlukan masa untuk membina kembali kekuatan pasukan bagi menempuh semua kejohanan tersebut.
Jelasnya, jika harapan terlalu tinggi diletakkan di bahu mereka, para pemain akan berasa tertekan dan sukar untuk beraksi dengan baik.
“Kalau setiap kejohanan kita letakkan sasaran tinggi kepada mereka, kita hanya bagi tekanan kepada mereka.
“Kita anggap Sukan SEA ini adalah satu medan pembelajaran buat pemain-pemain muda negara dan InsyaAllah pada masa akan datang, mungkin tahun 2023 atau 2024, mereka akan lebih hebat daripada sekarang,” katanya
Beliau turut berharap peminat akan sentiasa menyokong skuad negara tidak kira apa pun keputusan yang berlaku nanti.
Acara bola sepak Sukan SEA 2021 bakal bermula pada Jumaat ini (6 Mei) dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Singapura, Kemboja dan Laos. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram