WALAUPUN beraksi di tempat lawan, Negeri Sembilan FC (NSFC) yakin mampu menewaskan Terangganu FC (TFC) dalam perlawanan Piala FA pada Jumaat.
Keyakinan itu dinyatakan sendiri oleh penyerang muda NSFC, Sean Eugene Selvaraj yang berkata, rekod baik dalam Liga Super akan dibawa ke Gong Badak bagi meneruskan perjuangan pasukan dalam memastikan layak ke pusingan seterusnya saingan berkenaan.
Sean Eugene Selvaraj yakin dengan kemampuan rakan pasukan untuk menentang TFC. — Facebook NSFC
"Biarpun kelebihan dimiliki Terengganu sebagai tuan rumah, namun kami tidak akan menjadikan kelebihan pihak lawan itu sebagai halangan untuk kami mencipta kemenangan.
"Walaupun sedar cabaran dalam perlawanan ini nanti adalah lebih sukar berbanding apa yang kami hadapi dalam Liga Super kerana ia membabitkan saingan kalah mati, tetapi kami sudah buat persiapan rapi untuk berhadapan dengan Terengganu," katanya.
Menurut Sean Eugene, walaupun pasukannya berstatus pendatang baharu dalam Liga Super musim ini, namun rata-rata pemain sudah memiliki pengalaman berhadapan cabaran dalam Piala FA.
Nafuzi Zain ada formula tewaskan NSFC
Pengendali TFC, Nafuzi Zain mengakui yang skuad Hobin Jang Hobin masih 'kebal' mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super tetapi dia mempunyai formula tersendiri untuk memecahkan tembok itu.
Malah, jurulatih berusia 44 tahun itu tetap percaya anak buahnya mampu menggalas tugas untuk merakam kemenangan dalam aksi kalah mati itu yang sebelum ini ditunda berikutan pemain lawan dijangkiti wabak pandemik Covid-19.
Nafuzi Zain ada formula tersendiri untuk tewaskan NSFC.
"Jadi, saya ingatkan pemain agar tidak membiarkan lawan mendominasi permainan dan kedua, perlu menyekat pergerakan dua pemain import mereka iaitu Mathieus Alves dan Adetu Kossi daripada bergerak bebas terutama dalam kawasan penalti.
"Selain itu, pemain perlu menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri di depan ribuan peminat setia dengan persembahan terbaik untuk memastikan kemenangan," katanya.
Dalam pada itu, Nafuzi mengakui lega apabila penyerang importnya, Kpah Sherman dapat kembali beraksi selepas digantung satu perlawanan berikutan kad merah diterima ketika menentang Sarawak United FC, minggu lalu. — Harian Metro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram