BARU sahaja lega dengan usaha peminat yang melancarkan kutipan dana bagi membantu Perak FC, pasukan itu kali ini kembali kecoh dengan isu agihan yang dikatakan mahu diberi tidak sesuai perancangan.
Menerusi satu hantaran video di akaun Facebook, Seladang Fan Club, seorang individu dipercayai sumber rapat Perak FC mendedahkan isu tersebut kepada bekas pemain kelab itu, Khalid Jamlus tentang pengagihan wang sumbangan berkenaan mengikut 'kasta' yang mana tidak seperti perancangan awal untuk dibahagikan sama rata selepas diserahkan kepada ketua jurulatih.
Perkara itu katanya diputuskan oleh kumpulan yang menguruskan kutipan dana tersebut yang didakwa mahu menguruskan serahan tersebut.
"Katanya kesebelasan utama mahu diberikan sebanyak RM1,200, pemain lain RM1,000, individu teknikal termasuk jurulatih, RM400.
"Malah, pihak tersebut juga mencadangkan mahu mengurangkan lagi elaun doktor pasukan dengan alasan bahawa mereka mempunyai gaji tetap," kata individu yang berkongsi perkara tersebut dalam hantaran video berkenaan.
Tambahnya lagi, secara logik, dana tersebut peru diagihkan secara sama rata seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini.
Dakwanya lagi, dana tersebut bukan sekadar mahu diagihkan mengikut kategori, pihak terlibat juga difahamkan mahu membuat satu majlis serahan di sebuah restoran.
Selian itu, katanya pihak yang menjalankan kutipan itu mahu mengambil 'upah' atas pengurusan sumbangan berkenaan.
Majoriti ada menghubungi pihak yang terlibat dalam pengurusan kutipan dana buat Perak FC yang dikenali sebagai Abang Din untuk mendapatkan penjelasan beliau tentang isu tersebut.
Katanya kepada Majoriti, dia bakal menjelaskan tentang perkara tersebut dalam masa terdekat.
Penyokong Perak FC sanggup mengutip dana bagi menampung gaji pemain kelab itu.
Kemelut melibatkan isu tunggakan gaji Perak FC dijangka berakhir pada Jumaat apabila Impact Media and Communications (IMC) Sdn Bhd selaku pemilik The Bos Gaurus (TBG) ketika ini bakal memeterai perjanjian persefahaman (MOU) bersama pemilik baharu.
Perkara itu ditegaskan Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah yang mengesahkan urusan rundingan dengan pemilik baharu berkenaan telahpun selesai baru-baru ini apabila kedua-dua pihak mencapai persetujuan.
Katanya, rundingan dengan pemilik baharu ini telah selesai dan bakal ditandatandangani pada Jumaat.
emelut tunggakan gaji Perak FC yang berlarutan sejak musim lalu itu menyaksikan ramai pemain skuad berkenaan mengambil keputusan meninggalkan pasukan tersebut musim ini.
Senario itu menyaksikan skuad Kejor Yob Skor itu terpaksa bergantung hanya 16 pemain termasuk tiga penjaga gol untuk beraksi setelah gagal mendaftarkan para pemain baharu bagi mengharungi saingan Liga Premier musim ini.
Lebih memburukkan lagi keadaan, akibat tunggakan gaji berkenaan, skuad Seladang itu turut dikenakan tindakan pemotongan tiga mata pada 1 April dan seterusnya enam mata pada 14 April yang melibatkan pemotongan sembilan mata secara keseluruhannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram