JDT atur serangan dalam keadaan terbatas — Mora


  • Podium
  • Jumaat, 29 Apr 2022

Bergson muncul wira JDT ketika berdepan Guangzhou dalam aksi Kumpulan I Liga ACL 2022 di Stadium Sultan Ibrahim. — Facebook

PENGENDALI Johor Darul Takzim (JDT), Benjamin Mora gembira kemenangan 2-0 dilakar Harimau Selatan ke atas Guangzhou FC dalam aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 di Stadium Sultan Ibrahim biarpun terpaksa berdepan lawan yang gemar menggunakan taktikal parkir bas di depan pintu gol.

Bagaimanapun menurut Mora, para pemain JDT masih mampu beraksi dengan baik bagi memecahkan benteng pertahanan lawan seterusnya menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti disempurnakan Bergson da Silva.

“Secara keseluruhannya, kita bangga apabila meraih tiga mata dalam perlawanan ini dan ia merupakan satu proses yang baik menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan berdepan Ulsan Hyundai pada Sabtu ini.

“Namun, apabila berdepan dengan pasukan seperti Guangzhou yang menggunakan taktikal parkir bas di depan pintu gol, memang memberikan kesukaran kepada mana-mana pasukan kerana terpaksa mencari jalan untuk melakukan serangan dan mengatur gerak dalam keadaan yang agak terbatas.

“Bagaimanapun, keputusan perlawanan membuktikan JDT masih mampu beraksi dengan baik dan mencatatkan kemenangan bagi meraih semula tiga mata berharga,” kata Mora selepas perlawanan tersebut.

Pada perlawanan itu, Bergson muncul wira Harimau Selatan apabila menjaringkan dua menerusi sepakan penalti pada minit ke-16 dan minit ke-96, sekali gus menyaksikan kemenangan 2-0 tuan rumah.

Kemenangan ketiga peringkat kumpulan itu menyaksikan Harimau Selatan merampas semula kedudukan teratas kumpulan biarpun berkongsi 10 mata dengan kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai yang dibezakan menerusi perbezaan gol.

Sementara itu, Bergson mengakui gembira apabila dapat membantu Harimau Selatan melakar kemenangan ketiga saingan tersebut apabila mengatasi cabaran Guangzhou.

“Semua pemain telah memberikan aksi yang terbaik pada perlawanan berkenaan bagi memastikan kemenangan. Kemenangan ini secara tidak langsung menambahkan keyakinan saya untuk mengharungi aksi pada perlawanan akan datang.

“Malah, saya berazam untuk memastikan kemenangan pasukan dan layak ke pusingan seterusnya,” katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram