Mickey kecewa, gagal bantu TFC hadapi Piala FA sebab hamstring


  • Podium
  • Rabu, 27 Apr 2022

Faisal positif dan yakin dengan kemampuan rakan sepasukannya untuk menghadiahkan kemenangan buat penyokong TFC.

PEMAIN sayap Terengganu FC (TFC), Faisal Halim mengakui kecewa kerana tidak dapat beraksi pada saingan Piala FA menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) Jumaat ini akibat kecederaan hamstring.

Namun, pemain kelahiran Pulau Pinang itu tetap positif dan yakin dengan kemampuan rakan sepasukannya untuk menghadiahkan kemenangan buat penyokong dalam pusingan kalah mati itu nanti.

"Sudah pasti saya kecewa kerana selepas menjaringkan gol pertama musim ini pada perlawanan Liga Super menentang Selangor FC tempoh hari, semangat saya berkobar-kobar untuk buat lebih baik dan membantu pasukan pada perlawanan penting malam esok.

"Tetapi saya reda dengan apa yang berlaku dan harap rakan-rakan sepasukan dapat mempersembahkan corak permainan terbaik," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Tambah Faisal yang mesra disapa Mickey, meskipun kedudukan pasukan Negeri Sembilan lebih baik berbanding skuad Penyu dalam liga musim ini, beliau percaya momentum kemenangan yang diraih dalam dua perlawanan terakhir menjadi motivasi buat TFC.

Skuad Penyu di bawah kendalian ketua jurulatih Nafuzi Zain memulakan saingan Liga Super musim ini dengan kesukaran apabila tewas dua daripada empat perlawanan manakala Negeri Sembilan mempamer aksi cemerlang apabila menang tiga perlawanan dan seri dalam dua perlawanan.

Dengan keputusan itu, skuad Hobin Jang Hobin yang dibimbing ketua jurulatih berpengalaman K.Devan menghuni tangga keempat Liga Super dengan 11 mata manakala TFC ditangga ketujuh dengan enam mata terkumpul. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram