MFL 'sound' bakal pemilik baharu Perak FC


  • Podium
  • Khamis, 21 Apr 2022

Sebahagian pemain Perak FC menjalani latihan bagi menghadapi saingan Kelantan pada malam Sabtu lepas. — Facebook

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) berharap agar pemilik baharu Perak FC akan mengutamakan kebajikan pemain dan pegawai selepas mengambil alih pasukan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam yang mengakui risau dengan situasi melanda The Bos Gaurus itu, mahu melihat proses pengambilalihan oleh pemilik baharu berjalan lancar termasuk berusaha menjelaskan hutang lapuk pasukan terbabit.

"Saya telah berhubung dengan parti baharu (bakal pemilik) untuk pastikan mereka tahu dan jelas apa yang diperlukan MFL.

"Mereka ada sehingga 11.59 malam ini untuk selesai perkara ini dan harap dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pengumuman penajaan minyak masak jenama Alif sebagai penaja Liga-M yang turut dihadiri Pengarah Urusan Sime Darby Oils (SDO), Mohd Haris Mohd Arshad, pada Khamis.

Perak FC yang beraksi dalam saingan Liga Premier 2022 dan sedang terpalit dengan isu pertukaran pemilik, menjadi kelab pertama dihukum pemotongan tiga mata selepas gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan utama serta simpanan bagi musim 2021.

Malang terus menimpa Perak FC apabila dikenakan hukuman pemotongan enam mata lagi dalam saingan Liga Premier, berdasarkan keputusan dibuat badan bebas, First Instance Body (FIB) berkuat kuasa serta merta pada 15 April lepas.

FIB memaklumkan, hukuman dikenakan berikutan kegagalan pasukan itu melunaskan baki tunggakan gaji, melibatkan pemain dan pegawai pasukan utama serta simpanan mereka setakat November tahun lepas, berdasarkan Akuan Berkanun (SD) dihantar pasukan itu bertarikh 15 Disember 2021.

Sekiranya tempoh tujuh hari dari tarikh hukuman kedua dibuat dan bukti bayaran penuh ataupun persetujuan penyelesaian bersama masih tidak diserahkan kepada MFL pada atau sebelum Khamis, perkara tersebut akan dibawa ke Jawatankuasa FIB dan Ahli Lembaga MFL untuk tindakan seterusnya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram