PENYOKONG Liverpool menunjukkan sokongan kepada bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo yang kehilangan bayi lelakinya, ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris antara kedua-dua kelab itu awal pagi Rabu.
Pada minit ketujuh, simbolik kepada nombor jersi yang dipakai Ronaldo, penyokong The Reds berdiri dan memberi tepukan selama satu minit sambil menyanyikan lagu kelab, You'll Never Walk Alone.
Permainan diteruskan semasa penyokong menyanyikan lagu itu selama kira-kira satu minit.
Ronaldo dan pasangannya, Georgina Rodriguez pada Selasa mengesahkan bahawa mereka telah kehilangan bayi lelaki yang baru dilahirkan.
Ronaldo sebelum ini dijangka menerima pasangan anak kembar seperti yang dimaklumkan pada Oktober lalu.
Menerusi media sosial, Ronaldo berkata yang bayi lelakinya telah meninggal dunia manakala bayi perempuanya selamat dilahirkan.
Terdahulu, Liverpool dalam satu hantaran di Twitter turut memberi sokongan kepada pemain Portugal itu.
“Kami semua di Liverpool FC mengucapkan takziah kepada anda, Georgina dan keluarga,” menurut ciapan itu.
Ronaldo tidak hadir pada perlawanan tersebut, dan Manchester United sebelum ini mengumumkan bahawa dia tidak akan bermain dalam perlawanan itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram